Selepas kekalahan di final Piala Carabao, Arsenal terlepas satu lagi piala domestik iaitu Piala FA.
Skuad Mikel Arteta membawa harapan quadruple sebelum mereka tewas di tangan Man City dalam final Piala Carabao. Dan kini mereka terlepas piala kedua mereka musim ini.
Southampton FC berjaya menempah tempat ke Wembley selepas menewaskan lawan mereka dalam perlawanan sengit yang berlangsung dengan tempo tinggi. Penyerang Scotland Ross Stewart membuka tirai jaringan pada minit ke-34 hasil gerakan dari sebelah kanan oleh James Bree. Gol tersebut memberi kelebihan kepada tuan rumah selepas mereka bertahan dengan baik dalam fasa awal perlawanan.
Pasukan pelawat sebenarnya bermula agresif dan mencipta beberapa peluang menerusi Martin Odegaard dan Gabriel Martinelli, namun ketumpulan penyudah serta aksi cemerlang penjaga gol Daniel Peretz menggagalkan usaha mereka. Southampton pula hampir menambah jaringan melalui Leo Scienza yang terkena palang.
Memasuki babak kedua, pengurus Mikel Arteta melakukan beberapa pertukaran penting termasuk memasukkan Viktor Gyokeres. Keputusan itu membuahkan hasil apabila Gyokeres berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-68 selepas menerima hantaran daripada Kai Havertz. Gol tersebut menghidupkan kembali harapan pasukan pelawat untuk mara ke peringkat seterusnya.
Walau bagaimanapun, Southampton tidak mengalah dan terus memberikan tekanan. Lima minit sebelum tamat, pemain gantian Shea Charles muncul wira apabila menyempurnakan peluang dari dalam kotak penalti dengan rembatan tepat ke penjuru bawah gawang. Gol tersebut memastikan kemenangan dramatik buat Saints.
Pasukan pelawat cuba bangkit pada saat-saat akhir, namun gagal menembusi pertahanan lawan sekali lagi. Kekalahan ini menjadi yang kedua berturut-turut buat mereka dan menamatkan cabaran dalam kejohanan ini.
Selepas ini, mereka akan memberi tumpuan kepada aksi UEFA Champions League menentang Sporting CP, sebelum kembali ke saingan liga menentang AFC Bournemouth.