Ianya hari yang sangat baik untuk Arsenal, apabila skuad Mikel Arteta menang 1-0 ke atas Brighton, ketika pesaing utama mereka Man City pula seri dengan Nottingham Forest.

Perlawanan sengit antara Brighton & Hove Albion menentang Arsenal di Stadium Amex sebentar tadi menyaksikan The Gunners berjaya membawa pulang tiga mata penuh.
Bukayo Saka muncul wira dengan gol tunggalnya di awal permainan, sekali gus meletakkan Arsenal tujuh mata di atas puncak Liga Perdana Inggeris.
Saka Wira Arsenal
Gol pada minit ke-8 ini adalah gol ke-79 Saka dalam penampilan ke-300nya untuk Arsenal. Starboy!
Selepas gol tersebut, Brighton mula mengasak. Mereka cuba beri tekanan dan cari ruang untuk gol penyamaan.
Kaoru Mitoma memiliki peluang keemasan tapi rembatannya berjaya dihadang oleh Gabriel.
Georginio Rutter pun cuba nasib, tapi rembatan dia pula terkena Mitoma secara tidak sengaja. Memang tak ada rezeki untuk Brighton!
Arsenal pula, dilihat seolah olah berpuas hati dengan gol tersebut. Mereka tidak banyak melakukan percubaan bahaya lain sepanjang separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua pun sama, Arsenal lebih banyak bertahan dan cuba kawal permainan.
Mikel Arteta kemudian memasukkan Kai Havertz dan Leandro Trossard untuk menyegarkan jentera serangan, namun tiada tambahan gol terhasil.
Kemenangan Penting Buat Perebutan Gelaran!
Walaupun ada tujuh minit masa tambahan, Arsenal berjaya kekalkan kelebihan 1-0 sehingga wisel penamat ditiup.
Kemenangan ini sangat penting buat Arsenal dalam misi mereka memburu gelaran Liga Perdana Inggeris.
Dengan lapan perlawanan berbaki, mereka kini selesa di puncak liga dengan kelebihan tujuh mata. Brighton pula perlu bangkit semula selepas kekalahan di laman sendiri ini.
Lebih manis apabila Man City keciciran mata dalam satu lagi perlawanan.