Arsenal semakin pasti akan menamatkan kemarau trofi utama (major) mereka sejak 2020 apabila menewaskan Chelsea untuk mara ke final Piala Liga (Carabao Cup).
Berbekalkan kelebihan 3-2 daripada perlawanan pertama, The Gunners terpaksa menunggu sehingga minit ke-97 untuk mengesahkan kemaraan mereka dalam aksi penuh debaran di Stadium Emirates.
Pemain gantian, Kai Havertz, yang juga bekas pemain Chelsea, menjaringkan satu-satunya gol perlawanan jauh di masa kecederaan apabila dia berjaya melepasi penjaga gol Robert Sanchez sebelum menyudahkan peluang dengan tenang.
Anak buah Mikel Arteta, yang kini mendahului Liga Perdana Inggeris dan masih bersaing dalam tiga kejohanan piala, akan menentang sama ada Manchester City atau Newcastle di final yang akan berlangsung di Wembley bulan depan.
Tuan rumah memulakan perlawanan dengan lebih dominan, namun dengan Chelsea beraksi menggunakan formasi lima pertahanan, peluang jaringan agak terhad pada separuh masa pertama.
Pengurus Blues, Liam Rosenior, memasukkan pemain penyerang, Estevao dan Cole Palmer pada minit ke-60 dalam usaha menghidupkan permainan pasukannya, tetapi Arsenal berjaya mengekang ancaman tersebut.
Situasi itu membuka ruang buat Havertz, yang baru sahaja kembali daripada kecederaan, untuk memastikan kemenangan agregat Arsenal dengan penyudah tenang pada saat-saat akhir perlawanan.
Trofi utama terakhir Arsenal adalah Piala FA, juga selepas menewaskan Chelsea, manakala kali terakhir mereka mara ke final Piala Liga ialah pada tahun 2018.