Pemain Atletico mengadu kepada UEFA menyatakan bahawa mereka tidak dapat mandi air panas di dalam stadium Emirates kerana masalah gangguan bekalan air.
Atletico Madrid akan menentang Arsenal dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi esok waktu Malaysia, namun skuad mereka dikatakan berang selepas tidak dapat mandi menggunakan air panas selepas sesi latihan di Stadium Emirates – menurut wartawan Cadena SER, Pedro Fullana.
The Gunners akan menjadi tuan rumah kepada kelab La Liga itu, dan insiden tersebut telah menyebabkan pasukan pelawat berang.
Pemain dan staf Atletico terpaksa meninggalkan Stadium Emirates dalam keadaan berpeluh sambil mengadu tentang layanan yang mereka anggap tidak adil daripada Arsenal.
Tidak diketahui sama ada insiden itu disengajakan oleh pihak Arsenal untuk menyusahkan lawan, namun kelab London Utara itu terkenal dengan sikap profesional mereka.
La expedición del @Atleti se ha tenido que ir del Emirates sin ducharse al no tener agua caliente.
Jugadores sudando, saliendo a la carrera al hotel para ducharse porque no había agua caliente al finalizar el entreno oficial.
Enfado monumental en la expedición.
— Pedro Fullana (@PedroFullanaSER) October 20, 2025
Sebelum ini masih belum pernah ada mana mana pasukan mengeluh dengan layanan yang mereka terima di Emirates, jadi perkara ini mungkin berpunca daripada kesilapan teknikal.
Terdapat laporan menyatakan bahawa pihak stadium sudah menjelaskan bahawa ada gangguan bekalan air di stadium Emirates yang membuatkan air panas tidak dapat dibekalkan.
Namun, Atletico dikatakan tidak akan mempercayai bahawa ketiadaan air panas selepas latihan itu berlaku secara tidak sengaja.
Kedua-dua pasukan akan berusaha meraih tiga mata penuh, dan pertembungan menarik dijangka berlaku.
Arsenal akan turun untuk perlawanan ketiga Liga Juara-Juara musim ini dengan rekod cemerlang — hanya satu seri dan satu kekalahan dalam 11 perlawanan di semua kejohanan setakat ini.
Atletico juga memulakan musim 2025-26 dengan baik, hanya dua kekalahan dan empat keputusan seri dalam 11 perlawanan.
Kedua-dua kelab mencatat kemenangan dalam aksi liga hujung minggu lalu dan turut memperoleh keputusan positif dalam perlawanan Liga Juara-Juara masing-masing.
Arsenal menewaskan Olympiacos 2-0 manakala Atletico membelasah Eintracht Frankfurt 5-1 — menjadikan tiada pasukan dianggap pilihan utama menjelang aksi esok.
Kelab Sepanyol itu dijangka akan menggunakan insiden di Emirates sebagai pembakar semangat menjelang perlawanan menentang Arsenal pada malam Selasa.
Ianya dianggap sebagai perkara biasa dilakukan Simeone untuk membangkitkan api kemarahan dalam diri pemainnya
The Gunners bagaimanapun berada dalam prestasi luar biasa musim ini dan yakin mampu menundukkan pelawat di hadapan penyokong sendiri.