Pelumba negara, Azeem Fahmi menjadi buah mulut peminat peminat sukan tempatan hari ini apabila muncul juara kebangsaan untuk acara olahraga, 4×100 meter dalam Kejohanan NCAA di Oregon, Amerika Syarikat.

Beliau mewakili pasukan Universiti Auburn bersama kuartet yang dibarisi oleh Kanysola Ajayi (Nigeria), Dario Matau (Afrika Selatan) dan Makanakishe Charamba (Zimbabwe).

Lebih menarik, mereka mencatatkan rekod kedua terpantas dengan catatan 38.38 saat.

Bermula di lorong keenam, Azeem yang menjadi pelari pertama Auburn pantas keluar dari blok pelepasan sebelum kemenangan mereka disempurnakan oleh Charamba dengan catatan masa 38.03s.

Kemenangan itu sudah tentu menyuntik semangatnya untuk memburu slot ke Sukan Olimpik 2024 Paris.

Beliau merupakan pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat dan telah melakukan catatan terbaiknya musim ini iaitu 10.24 saat ketika beraksi di Kejohanan Olahraga LSU Invitational, Los Angeles pada 27 April lepas.

Bagaimanapun, catatan tersebut masih jauh jika dibandingkan dengan kelayakan ke Paris yang memerlukan beliau mencatat sekurang-kurangnya 10 saat untuk layak secara merit dalam acara tumpuan itu.

Azeem yang berusia 20 tahun itu akan pulang ke Malaysia bagi menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Kuantan pada 14 hingga 16 Jun ini.

Buat masa ini beliau tidak mahu terlalu memikirkan tentang slot ke Olimpik sebaliknya terus berseronok beraksi dalam mana-mana kejohanan yang akan disertainya tahun ini.

“Saya tidak risau tentang Olimpik, kalau ada rezeki, jadi ada. Sekarang, saya hanya mahu fokus pada mendapatkan semula ‘keseronokan’ bertanding dan menerima diri sendiri,” katanya dipetik dalam Bernama.