Pelari pecut negara, Azeem Fahmi, terus menunjukkan perkembangan positif apabila mencatat masa 10.08 saat dalam acara 100 meter di kejohanan East Coast Relay di Jacksonville.

Ianya rekod yang dianggap luar biasa dicatatkan jaguh pecut negara itu.

Tidak diiktiraf rekod rasmi

Namun begitu, catatan tersebut tidak boleh dianggap sebagai rekod rasmi kerana dibantu oleh angin +4.1 m/s, melebihi had yang dibenarkan oleh peraturan antarabangsa iaitu +2.0 m/s – menurut laporan Astro Arena.

Walaupun tidak sah sebagai rekod, prestasi itu tetap mencuri perhatian kerana ia menunjukkan Azeem berada dalam fasa peningkatan dari segi kelajuan dan konsistensi ketika bersaing di pentas antarabangsa.

Masa 10.08 saat dengan bantuan angin besar itu sekurang-kurangnya memberi gambaran bahawa Azeem semakin menghampiri tahap kompetitif elit, terutama menjelang beberapa kejohanan utama sepanjang musim 2026.

Perkembangan ini pastinya satu petanda positif buat kem pecut negara, yang terus berharap Azeem mampu mengekalkan momentum dan menurunkan catatan masa secara sah dalam perlumbaan akan datang.