Azeem Fahmi gagal untuk mara lebih jauh dalam acara pecut 100 meter Sukan Olimpik 2024. Azeem turut gagal memperbaiki catatan masa, malah jauh daripada masa terbaiknya ketika acara saringan kedua.

Dia lolos saringan pertama dengan catatan 10.42 saat. Tetapi hanya mencatatkan 10.45 saat, jauh di belakang rekod kebangsaan yang dipegangnya dengan 10.09 saat.

HYPE
Sempena MAHA 2024, Anda Berpeluang Menang Motosikal Setiap Hari Dengan Kempen AgroMAHA
Baca lagi →

Lantas pelumba itu menuai kritikan daripada ramai pihak. Malah ada yang mempersoalkan pengorbanan pelumba itu.

Seorang pempengaruh media sosial Ezreen Muhaizie Marzuki mendedahkan tentang pengorbanan Azeem Fahmi. Di mana pelumba itu keluar dari tempat selesanya pada usianya sangat muda demi untuk mengejar cita citanya sebagai pelari pecut.

Azeem adalah pelajar yang pandai. Namun dia mengorbankan sedikit daripada pendidikannya itu demi sukan. Itupun Azeem Fahmi masih mampu meraih 6A di dalam SPM dan mendapat biasiswa pengajian dari luar negara.

Ezreen menulis: “Netizen cakap Azeem Fahmi tak banyak berkorban.

“Tetapi, ramai yang tidak tahu bahawa perjalanan mencipta rekod baharu kebangsaan 10.09s bermula dengan Azeem sanggup berpindah sekolah daripada SBP (Sekolah Berasrama Penuh) di Ipoh ke SMK Gunung Rapat (juga di Ipoh) ketika di Tingkatan 2.

“Kerana SMK Gunung Rapat adalah sekolah projek sukan yang ada kemudahan trek balapan untuk beliau mudah berlatih dan mengembangkan potensi.

“Ya, Azeem Fahmi ni budak pandai. Kalau beliau stay di SBP, berlari ala kadar untuk menang peringkat negeri dan kebangsaan, mungkin beliau boleh dapat lebih baik daripada keputusan 6A dalam SPM.

“Tapi itulah pengorbanan awal beliau di usia remaja yang hakikatnya budak lain pun tak mampu nak buat.

“Jangan kata kita nak menyumbang rekod baru kebangsaan, nak menyumbang 1A dalam SPM untuk sekolah pun belum tentu lagi kita terbuat. Jadi sabarlah, beliau masih muda.”

Azeem sebelum ini kesal dengan kegagalannya untuk tampil lebih baik dalam acara 100 meter di Sukan Olimpik. Dan dia membulatkan tekad untuk fokus kepada persiapan Sukan Olimpik 2028 yang akan datang.

Bercakap kepada Kosmo, Azeem berkata:  “Saya akan bangkit lebih kuat dan menjadi Azeem yang berbeza. Pada ketika itu, saya tidak lagi berusia 20 tahun dan bukannya seorang budak. Saya juga akan pastikan saya layak ke LA 2028 secara merit.”