Gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani mencipta sensasi pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 yang berlangsung di Ningbo, China sebentar tadi.

Ia berikutan kejayaan mereka mengejutkan pasangan ranking kedua dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dengan penuh bergaya hasil kemenangan ‘straight set’ 21-13, 21-18.

Baca Juga:

Walaupun tidak berada pada prestasi terbaik dalam saingan berstatus tinggi, Sze Fei dan Nur Izzudin tidak menghiraukan keadaan tersebut sekali gus berjaya menamatkan rentetan dua kekalahan ke atas lawan dari Korea Selatan itu.

Dua kekalahan yang dialami sebelum ini adalah ketika Korea Masters 2023 dan Sathio Group Australia Open 2023 dimana kedua-duanya mereka tewas dalam ‘straight set’.

Set pertama menyaksikan segalanya berada di landasan tepat buat pasangan yang kini menghuni ranking ke-19 dunia itu untuk menang mudah 21-13.

Tersentak dengan keputusan tersebut, Min Hyuk-Seung Jae tampil lebih garang pada set kedua yang menyaksikan aksi kejar-mengejar mata sehingga mereka terikat 17-17.

Namun, kesilapan yang ketara terutamanya menerusi Min Hyuk telah memberikan ruang seluas-luasnya buat Sze Fei-Nur Izzudin untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik.

Turut mara ke pusingan seterusnya ialah Lee Zii Jia yang tidak berdepan masalah untuk menewaskan Priyanshu Rajawat dari India 21-9 21-13.

Manakala dua lagi pasangan lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menumpaskan pasangan India, Hariharan Amsakarunan-Ruban Rethinasabapathi 21-15 21-14 dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula menang ke atas wakil tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi 21-15 21-12.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Yaqiong 15-21, 15-21 dan gandingan beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien akur dengan kehebatan Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong dari Korea Selatan 11-21, 10-21.

Sementara itu, enam lagi wakil negara akan turun berentap pada malam ini.