Mark Zuckerberg adalah individu yang bertanggungjawab mencipta Facebook, sebuah laman sosial yang digunakan untuk berhubung dengan semua orang di seluruh dunia.
Penggunanya bukan sahaja melibatkan orang-orang biasa, tetapi kebanyakan jenama besar semuanya berpandukan Facebook untuk menarik pelanggan mereka.
Tetapi, tahukah anda bahawa Mark Zuckerberg telah kehilangan lebih dari $ 7 bilion atau sekitar RM30 bilion dari sumber kekayaannya? Ini semua disebabkan kempen boikot dari beberapa syarikat besar dunia sehingga mengakibatkan saham Facebook merudum jatuh.
Fox Business melaporkan bahawa saham Facebook turun 8.3%, sehingga menghapuskan $ 56 bilion dari nilai pasaran Facebook. Ia berlaku setelah beberapa pengiklan, termasuk nama besar seperti Unilever dan Coca Cola, memutuskan untuk menangguhkan kempen iklan jenama mereka di rangkaian laman sosial terbesar di dunia.
Seperti sedia maklum, kekayaan Mark sendiri berasal dari sahamnya di Facebook. Walaupun dia masih lagi antara orang terkaya di dunia dengan anggaran kekayaan sebesar $ 82.3 bilion, tetapi kehilangan $ 7 bilion dalam masa yang sangat singkat sangat memberi kesan kepada Mark.
Daily News melaporkan bahawa kesan kepada kerugian besar ini telah meletakkan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook di tempat ke empat orang terkaya di dunia di bawah Jeff Bezos, Bill Gates dan Bernard Arnault. Sebelum ini dia menduduki tempat kedua.
Untuk rekod, kempen #StopHate4Profit telah mendorong beberapa syarikat besar untuk menghentikan pengiklanan mereka di beberapa laman sosial lain terutama di Facebook. Mereka dalam satu kenyataan beranggapan bahawa Facebook tidak cukup berusaha untuk membuang perkataan yang berbaur kebencian.
“Iklan anda digunakan oleh platform tersebut untuk meningkatkan dominasi mereka dalam industri dengan mengorbankan masyarakat yang lemah dan terpinggir yang sering menjadi sasaran kumpulan kebencian di Facebook,” kata pencetus gerakan itu, Anti-Defamation League.
Facebook dalam satu kenyataan menyatakan bahawa mereka berjanji akan lebih berusaha untuk menangkis kandungan yang berunsur kebencian. Zuckerberg turut berjanji untuk melarang iklan-iklan yang mengancam beberapa kumpulan tertentu, termasuk membuang kandungan yang mencetuskan keganasan.
Manakala bagi kandungan yang dianggap bermasalah, iaitu, kandungan yang tidak termasuk dalam dua kategori di atas, akan di label oleh Facebook, “Kami akan melabel beberapa kandungan yang kami izinkan kerana dianggap sebagai berita baru,” kata Mark Zuckerberg.
Terdahulu, Facebook dilaporkan menghabiskan sekitar RM100 juta bagi menanggung kos hidup Mark Zuckerberg. Klik pautan di bawah untuk membaca.
Facebook Habiskan RM100 Juta Untuk Tanggung Kos Hidup Mark Zuckerberg
Pekerja Facebook Dan Google Dibenarkan ‘Work From Home’ Sehingga 2021
Facebook Bayar RM225 Juta Kepada Pekerja Yang Mengalami Tekanan Perasaan