Sudah menjejak hari ke-8 di bulan Ramadhan, kita sepatutnya memperbaiki tingkah laku diri di samping melakukan amal ibadat untuk balasan pahala berlipat kali ganda. Namun, masih ada individu yang berbuat kejahatan pada ketika ini meskipun berada di bulan mulia ini.
Menerusi ciapan yang dimuat oleh @paizmuhdd, beliau telah mendedahkan tentang nasib malang yang ditimpa terhadap seorang warga emas yang mengalami kerugian melebihi RM45,000 kerana diperdaya oleh taktik licik pertukaran kad ATM.
Baca Juga:
- Netizen Terhibur Lihat Scammer Ini Cuba Jual PS5 Dengan Harga Bawah RM200
- Gara-Gara Mahu Beli Kad TNG NFC Terlajak Murah, Lelaki Ini Lesap Lebih RM23,000 Kepada Scammer
https://twitter.com/paizmuhdd/status/1640713888248500225?s=20
Difahamkan jumlah keseluruhan transaksi haram yang bernilai RM46,000 berlaku dalam tempoh tiga hari bermula 25 Mac, 26 Mac dan 27 Mac 2023. Terdapat sebanyak 23 transaksi yang telah dibuat oleh suspek dan salah satunya dibuat untuk membeli telefon pintar iPhone 13 Pro Max di sebuah kedai telekomunikasi di Kapar.
Beliau mendedahkan prosedur jenayah yang dibuat oleh suspek secara terperinci menerusi bebenangnya. Pada mulanya, suspek akan merosakkan mesin ATM di mana akan menyebabkan kegagalan kad untuk dibaca. Kemudian suspek akan berdiri rapat dengan mangsa untuk memerhatikan nombor pin kad tersebut.
https://twitter.com/paizmuhdd/status/1640714395360854017?s=20
Selepas itu, kad mangsa akan tersangkut disebabkan mesin ATM telah dirosakkan. Lalu, suspek akan berpura-pura cuba untuk membantu dan pada masa yang sama suspek akan mengeluarkan kad lain atau dummy yang serupa dengan kad mangsa dan diberikan kepada mangsa tanpa disedari.
Sementara kad di dalam mesin ATM, si suspek boleh ambil dan mengeluarkan wang sewenang-wenangnya daripada akaun tersebut kerana mengingati nombor pin yang diperhatikan sewaktu di belakang mangsa.
https://twitter.com/paizmuhdd/status/1640715256921231374?s=20
Difahamkan kegiatan pertukaran kad bank di mesin ATM berlaku di sekitar kawasan Selangor dan menyasarkan warga emas. Penjenayah sengaja menyasarkan warga emas kerana mereka tidak pandai menggunakan perbankan atas talian untuk menyemak transaksi.
Suspek juga memilih hujung minggu sebagai waktu beroperasi kerana mangsa tidak boleh membuat penggantian kad pada hujung minggu dan perlu menunggu sehingga hari Isnin berikutnya.
Berdasarkan video bukti yang berjaya didapatkan, suspek merupakan sepasang suami isteri di mana mereka membeli iPhone 13 Pro Max menggunakan kad bank mangsa menerusi sebuah kedai telekomunikasi. Malah, suspek dilihat mampu memasukkan nombor pin dengan betul untuk membuat transaksi haram itu.
Difahamkan laporan polis telah pun dibuat susulan insiden itu dan tindakan lanjut bakal diambil. Suspek pada ketika ini masih dalam proses penjejakan dan sesiapa yang mempunyai informasi boleh maklumkan kepada pihak berkuasa.
Sebagai peringatan, kita mestilah berwaspada sewaktu ingin menggunakan mesin ATM dan jangan sesekali membiarkan individu yang tidak dikenali berada dekat jika kad masih belum dikeluarkan lagi. Anda juga sebagai anak seharusnya menemani ibu bapa jika mereka ingin berurusan di mesin ATM agar boleh menggelakkan perkara yang tidak diingini.