Penyerang remaja yang bakal menyertai Chelsea, Dastan Talgatuly Satpaev mencipta sejarah dalam UEFA Champions League (UCL) apabila menjadi penjaring termuda bagi kejohanan berprestij Eropah tersebut.

Pada usia 16 tahun 351 hari, pemain kelahiran Almaty, Kazakhstan itu melakarkan sejarah baharu apabila membantu pasukannya, Kairat Almaty menewaskan Kuopion Palloseura (KuPS) dari Finland dalam aksi  pusingan kedua kelayakan UCL 2025/26.

Baca Juga:

Satpaev membuka tirai jaringan pada minit kesembilan untuk membantu kemenangan 3-0 memihak Kairat sekali gus pasukannya menang dengan agregat 3-2.

Malah beliau turut menjadi pemain termuda dalam sejarah UCL yang berjaya menjaringkan gol serta mencipta bantuan jaring bagi mengatasi rekod dipegang Lamine Yamal (17 tahun 241 hari) pada 11 Mac 2025.

Chelsea Pantas Sambar Dastan Satpaev

Walaupun Kazakhstan bukanlah negara besar dalam kancah bola sepak Eropah, bakat besar dimiliki Dastan Satpaev telah berjaya mencuri tumpuan pencari bakat Chelsea.

Chelsea memuktamadkan pembelian Satpaev dengan yuran perpindahan bernilai £3.5 juta dengan kontrak selama lima tahun apabila usianya mencecah 18 tahun iaitu pada 12 Ogos 2026.

Chelsea
Kredit Foto: FC Kairat

Keadaan sama seperti dua rekrut baharu Chelsea, Estevao Willian serta Kendry Paez yang terpaksa menunggu usia mereka mencecah 18 tahun sebelum secara rasminya menyertai The Blues.

Ketika Estevao dikekalkan dalam skuad utama Chelsea bagi menghadapi musim 2025/26, Paez telah dilepaskan secara pinjaman ke Strasbourg.

Menurut sumber laporan Goal, peminat sudah mula membandingkan Satpaev dengan legenda Argentina, Sergio Aguero ekoran keupayaannya dalam melakukan rembatan padu dan tajam dalam usaha merobek gawang lawan.

Membuat 22 penampilan bersama skuad senior Kairat pada musim ini, Dastan Satpaev sudah berjata meledakkan sembilan gol dan mencipta tujuh bantuan jaringan.

Malah dalam aksi kelayakan UCL 2025/26 pula, beliau sudah menjaringkan dua gol dan mencipta satu bantuan jaringan.

Satu statistik menarik untuk diperkatakan bagi seorang pemain penyerang yang hanya akan berusia 17 tahun, kurang seminggu lagi.

 

Sumber