Penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun tampil bersuara mengenai keputusan kontroversi FIFA membenarkannya beraksi aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang Belgium walaupun sebelum itu beliau menerima kad merah.

Dilayangkan kad merah ketika menentang Bosnia dan Herzegovina pada pusingan 32, pemain itu bagaimanapun dibenarkan beraksi selepas FIFA telah menangguhkan hukuman tersebut di bawah Artikel 27 Kod Tatatertibnya selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump meminta Presiden FIFA, Gianni Infantino menyemak semula kes berkenaan.

Keputusan itu jelas mencetuskan kritikan meluas, termasuk daripada Persekutuan Bola Sepak Belgium yang mengemukakan bantahan terhadap kelayakan Balogun untuk beraksi, namun rayuan itu ditolak hanya beberapa jam sebelum sepak mula.

Kelebihan itu bagaimanapun tidak cukup buat Amerika Syarikat yang tumbang 1-4 pada aksi pusingan 16 yang berlangsung di Seattle Stadium tersebut.

Balogun Akhirnya Bersuara

Selepas wisel penamat dibunyikan, Balogun ditanya mengenai kontroversi berkaitan keputusan kad merah tersebut.

“Apabila sesuatu keputusan itu dibatalkan, sudah tentu ia akan menjadi kontroversi,” ujar beliau menurut sumber laporan Sport Bible.

“Jadi bagi saya, perkara itu tidak begitu mengejutkan. Tetapi sebagai seorang pemain, tugas saya hanyalah turun ke padang dan fokus melakukan tanggungjawab saya.”

Sementara itu, ketua jurulatih Belgium, Rudi Garcia berkongsi butiran mengenai perbualannya bersama pemain tersebut selepas perlawanan dan mengesahkan bahawa tiada perasaan tidak puas hati terhadap penyerang Monaco itu.

“Flo Balogun datang bercakap dengan saya. Saya menyukai perkara itu. Ia bukan kesalahannya. Dia bukan orang yang patut dipersalahkan dan saya memberitahunya perkara itu.”

“Saya menghargai tindakan dia datang kepada saya untuk berbincang,” ujar Garcia lagi.

Sumber