Pemain tengah Belgium, Nicolas Raskin berkata kemenangan 4-1 pasukannya ke atas Amerika Syarikat dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 dianggap sebagai satu bentuk keadilan selepas keputusan FIFA membenarkan penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun beraksi walaupun telah dilayangkan kad merah dalam perlawanan sebelumnya.
Balogun dilayangkan kad merah ketika menentang Bosnia dan Herzegovina pada pusingan 32 terbaik. Kebiasaannya, kad merah itu akan membawa kepada penggantungan automatik satu perlawanan.
Namun, FIFA telah menangguhkan hukuman tersebut di bawah Artikel 27 Kod Tatatertibnya selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump meminta Presiden FIFA, Gianni Infantino menyemak semula kes berkenaan.
Infantino menegaskan badan kehakiman FIFA beroperasi secara bebas dan autonomi, sambil menjelaskan beliau telah memaklumkan Donald Trump bahawa kes melibatkan Folarin Balogun masih tertakluk kepada proses perundangan yang sedang berjalan.
Jawatankuasa Tatatertib FIFA pula memaklumkan bahawa mereka mempunyai kuasa untuk menangguhkan hukuman penggantungan satu perlawanan tersebut.
Keputusan itu mencetuskan kritikan meluas, termasuk daripada Persekutuan Bola Sepak Belgium yang mengemukakan bantahan terhadap kelayakan Balogun untuk beraksi, namun rayuan itu ditolak hanya beberapa jam sebelum sepak mula.
Bagaimanapun, Belgium menamatkan segala kontroversi itu di atas padang apabila membelasah tuan rumah Amerika Syarikat 4-1 untuk mara ke suku akhir.
Raskin Perli Keputusan FIFA
“Seperti yang saya katakan, saya percaya keadilan sentiasa wujud dalam kehidupan. Apa yang berlaku itu memang boleh terjadi, tetapi walau apa pun alasan yang diberikan, kami tetap merasakan ia bukan sesuatu yang adil,” kata Nicolas Raskin menurut sumber laporan Reuters.
“Ia sedikit sebanyak membawa tuah kepada kami hari ini. Apa yang paling penting ialah kami perlu memenangi perlawanan ini dan semua pemain memahami mesej tersebut.”
Akaun Instagram rasmi skuad Belgium turut memuat naik gambar Romelu Lukaku meraikan jaringan keempat pasukannya dengan kapsyen “Overturn this” (Batalkan pula yang ini), dipercayai sebagai sindiran terhadap keputusan FIFA membenarkan Folarin Balogun beraksi.