Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran muncul juara Piala Thomas 2026 yang akan berlangsung di Horsens, Denmark pada 24 April hingga 3 Mei nanti.

Dalam usaha untuk menamatkan penantian panjang yang menyaksikan kali terakhir Malaysia muncul juara pada edisi 1992 itu, BAM turut menjemput Lee Zii Jia dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bagi memperkuatkan skuad negara.

Perkembangan terkini itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Dato’ Seri Lee Chong Wei menurut sumber laporan Berita Harian.

Menurut legenda badminton negara itu lagi, persiapan rapi akan dilakukan dalam usaha memantapkan lagi pasukan menjelang kejohanan tersebut.

BAM Letak Sasaran Juara Piala Thomas 2026

“Kita akan pilih pemain yang berada dalam pada tahap terbaik untuk persiapan kali ini.”

“Sejak Disember tahun lalu, saya dan barisan kejurulatihan sudah berbincang untuk membuat persiapan awal,” ujar Chong Wei kepada wartawan Berita Harian.

“Ini acara berpasukan, jadi kita perlu bersama-sama. Ia bukan individu, tetapi pasukan yang bermain untuk negara.”

“Kita akan pergi awal ke Denmark untuk kem latihan 10 hari. Kita mahu buat persiapan rapi. Sasaran tetap sama (juara),” tambah beliau lagi.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut senada dalam meletakkan sasaran buat kem negara.

“Sasaran dalam mana-mana sukan, kita mesti berani mensasarkan yang tinggi. Jika tidak mencapainya, tidak mengapa, tetapi kita mesti beri yang terbaik.

“Apa yang kita tidak mahu ialah mencari alasan. Saya optimis kita mempunyai pemain, jurulatih dan kepimpinan untuk menjayakannya. Ini peluang kita dan kita mesti percaya kita boleh menang,” ujar beliau.

Selepas muncul juara di Kuala Lumpur pada 1992, kem negara ketandusan kejuaraan dalam Piala Thomas.

Malaysia pernah mara ke final selepas edisi tersebut tetapi dihampakan oleh Indonesia (1994, 1998 dan 2002) serta Jepun (2014).

 

Sumber