Bank Dunia melaporkan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang mempunyai daya tahan ketara serta berpotensi untuk pulih biarpun dalam persekitaran mencabar akibat pandemik COVID-19.
Menerusi laporan bertajuk ‘Building Malaysia’s Resilience: Lessons from COVID-19’s Economic Impacts and Policy Responses‘ (Membina Daya Tahan Malaysia: Iktibar Impak Ekonomi dan Tindak Balas Dasar Akibat COVID-19), Malaysia telah mengatasi lima negara lain yang dikaji – Kemboja, Indonesia, Mongolia, Vietnam dan Filipina – pada peringkat makro dalam tempoh yang mencabar ini.
Baca Juga:
- Indonesia ‘Meroyan’ Tesla Pilih Buka Ibu Pejabat Di Malaysia
- Penduduk Malaysia Dijangka Cecah 33.4 Juta Orang Pada 2023, Didorong Kemasukan Warga Asing
- ‘Influencer’ Rusia Meninggal Dunia Kebuluran Selepas Hanya Makan Buah Selama 7 Tahun Di Malaysia
Kaji selidik tersebut meneliti kesan ekonomi dan tindak balas kerajaan terhadap pandemik di enam negara berkenaan.
Kesemua enam negara terbabit mengharungi krisis tersebut secara berbeza dan telah bertindak melaksanakan pelbagai pendekatan bagi mengekang penularan virus selain mengurangkan impak ekonomi dengan pelbagai peringkat kejayaan, kata bank itu.
Pengurus Bank Dunia bagi Malaysia, Yasuhiko Matsuda berkata kejutan akibat COVID-19 telah mengurangkan jumlah pekerjaan dan pendapatan isi rumah, namun laporan itu sebaliknya menunjukkan Malaysia berupaya mencatat prestasi baik berbanding lima negara itu di peringkat makro.
“Kejutan jualan di Malaysia lebih terkawal manakala keperluan menghentikan kerja/kegiatan pula adalah sederhana. Bagaimanapun, impak pandemik itu adalah tidak sekata.
“Di Malaysia, syarikat-syarikat lebih kecil, golongan miskin dan isi rumah yang rentan lebih mudah terjejas dan kurang mendapat akses bagi bantuan kerajaan,” kata Yasuhiko Matsuda.
Sementara itu, pakar ekonomi kanan Bank Dunia Ririn Salwa Purnamasari berkata ekonomi Malaysia menunjukkan kestabilan dan pertumbuhan yang konsisten, dengan kadar pertumbuhan tahunan 5% dan kedudukan sebagai yang terkaya antara enam negara sebelum bermulanya wabak itu.