Pada hari ini isu scammer antara yang terbesar di negara ini sehingga nilai kerugian mencecah RM1.2 bilion.
Bagaimanapun sehingga hari ini agak sukar untuk mangsa mendapatkan semula duit mereka yang ditipu oleh scammer.
Baca Juga:
- ‘Scammer Makin Pandai’ – Pemilik Kedai Minta Orang Ramai Berwaspada Beli Kereta Online
- Ini Taktik Baharu Scammer Untuk Dapat Makanan Secara Percuma, Ramai Rider Dah Terkena
- ‘Saya Bersumpah Tak Terima Duit, Saya Mangsa Fitnah Scammer’ – Aman Graseka
Namun dalam satu kemas kini, terdapat sinar baharu buat mangsa-mangsa scammer apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak bank membayar balik mangsa scammer sekiranya dikenalpasti berlaku kecuaian oleh institusi terbabit sehingga menyebabkan berlakunya jenayah scam.
Perdana Menteri berkata, perkara berkenaan tertakluk dalam peruntukan undang-undang di bawah Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) Akta 593.
“Kalau dikenal pasti kecuaian bank, bank akan bayar. Umpamanya setakat ini, mengikut Seksyen 413, KTJ, 138,407 (wang milik mangsa scam) sudah dipulangkan, maknanya ada (yang sudah dapat balik wang mereka).
“Sekiranya (dikenal pasti) bank tak memantau mengikut peraturan, jadi bank mesti bayar ganti rugi.
“Jadi, saya setuju prinsip sebagaimana dipakai di United Kingdom (menetapkan bank bayar ganti rugi jika cuai) terpakai di sini,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang ingin tahu sama ada bank boleh dipertanggungjawabkan sekiranya didapati cuai dan menyebabkan kecurian wang di akaun bank pengguna.
Terdahulu, beliau menjawab soalan asal Suhaizan Kaiat (BN-Pulai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan punca kenaikan kes penipuan jenayah kewangan dan langkah pencegahannya.
Anwar berkata, secara prinsipnya amalan itu turut terpakai di negara ini.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan turut mengambil langkah proaktif melalui Kajian Setiausaha Perbendaharaan (KSP) supaya ada peraturan yang mengikat bank untuk dipertanggungjawabkan sekiranya kesalahan atau kecuaian itu berpunca daripada institusi terbabit.