Kisah seorang ayah yang mempersoalkan status biologinya sebagai ayah kepada anak perempuannya telah membuka satu rahsia baharu yang akhirnya mengejutkan beliau selepas ujian DNA dibuat.

Menurut UNILAD, seorang lelaki di Vietnam yang berpindah bersama isterinya, Hong, dan anak perempuan mereka, Lan, mula merasakan keraguan selepas menyedari anaknya “terlalu cantik” untuk menjadi anaknya

Semakin Lan membesar, semakin kuat perasaan ragu-ragu itu.

Akhirnya, lelaki tersebut mengambil keputusan untuk menjalankan ujian DNA, yang mengesahkan anak perempuannya bukanlah darah dagingnya.

Kebenaran itu telah membuatkan beliau kecewa dengan hasil keputusan tersebut.

Menurut laporan Hindustan Times, dia mula menjauhkan diri daripada keluarganya dan meminum alkohol sebagai jalan keluar untuk mengatasi emosinya.

Apabila berdepan dengan hasil ujian DNA, isterinya, Hong menegaskan bahawa dia tidak pernah curang atau meniduri lelaki lain.

Walau bagaimanapun, perkahwinan mereka hancur akibat situasi itu.

Hong mengambil keputusan untuk meninggalkan suaminya bersama Lan, dan berpindah ke bandar lain.

Di sekolah baharunya, Lan berkawan dengan seorang pelajar lain yang kebetulan berkongsi tarikh lahir dan dilahirkan di hospital yang sama.

Persahabatan ini menjadi titik permulaan kepada satu penemuan yang mengejutkan.

Apabila kedua-dua keluarga bertemu semasa majlis sambutan hari lahir bersama, mereka mendapati Lan sangat mirip dengan ibu kawannya itu.

Keadaan ini mendorong mereka untuk melakukan ujian DNA sekali lagi, yang mengesahkan bahawa kedua-dua anak perempuan mereka telah tertukar ketika dilahirkan.

Kini, dua keluarga ini sering meluangkan masa bersama.

Walau bagaimanapun, belum ada sebarang kenyataan sama ada mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital yang bertanggungjawab dalam kesilapan ini.

Kes ini bukanlah pertama kali berlaku.

Di UK, dua wanita mendapati mereka tertukar semasa bayi, tetapi hanya mengetahuinya selepas 50 tahun melalui ujian DNA.