Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Barcelona sentiasa berdepan masalah untuk mendaftarkan pemain baharu mereka untuk beraksi dalam kempen La Liga.

Musim 2025/26 juga tidak terkecuali apabila Hansi Flick dikatakan sudah mula gusar tentang lima pemain termasuk Marcus Rashford dan Joan Garcia, kurang dua minggu sebelum aksi pembukaan La Liga.

Baca Juga:

Dengan masa semakin suntuk sebelum musim baharu La Liga bermula, Barcelona kini bertungkus-lumus memastikan pemain utama mereka didaftarkan dan layak untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif.

Masalah Sama Berulang Lagi Buat Barcelona

Barcelona kini berdepan masalah dengan lima pemain yang masih belum didaftarkan ke skuad utama kendalian Hansi Flick menjelang aksi pembukaan La Liga pada 16 Ogos ini.

Selain Marcus Rashford, Joan Garcia, Roony Bardghji dan Wojciech Szczesny, nama terbaharu yang belum didaftarkan ialah Gerard Martin.

Barcelona
Kredit Foto: FC Barcelona

Pemain bek kiri itu baru sahaja memperbaharui kontraknya dan dinaikkan dari pasukan simpanan ke skuad utama, sekali gus memerlukan pendaftaran rasmi mengikut peraturan La Liga.

Menurut sumber laporan Goal, skuad Barcelona hampir lengkap, namun masih perlu memuktamadkan pemergian Inaki Pena dan Oriol Romeu sebelum musim bermula.

Kelab Catalan itu kini berada di bawah tekanan untuk menyelesaikan semua proses pendaftaran tepat pada masanya.

Masalah pendaftaran pemain yang dihadapi Barcelona terus mencerminkan kekangan kewangan dan pentadbiran yang masih membelenggu kelab itu.

Barcelona Flick
Kredit Foto: FC Barcelona

Ketika ini, Barca sedang menunggu aliran pendapatan baharu termasuk perjanjian penajaan dengan Republik Demokratik Congo serta kelulusan tempat duduk VIP bagi mengurangkan tekanan di bawah peraturan kewangan La Liga (Financial Fair Play).

Salah satu pilihan yang tersedia adalah menggunakan kecederaan jangka panjang Marc-AndrĂ© ter Stegen sebagai ‘ruang pelepasan’ pendaftaran.

Namun langkah itu dianggap tidak ideal oleh Presiden kelab, Joan Laporta, kerana ia bakal mencetuskan liabiliti kewangan di masa hadapan.

Bagi Roony Bardghji, statusnya sebagai pemain pasukan simpanan menjadikan proses pendaftarannya kurang rumit, namun beliau tetap memerlukan kontrak skuad utama sekiranya tampil secara konsisten bersama pasukan senior.

Pengurus Hansi Flick pula dilaporkan mahu Gerard Martin menjadi sandaran utama kepada Alejandro Balde di posisi bek kiri sekali gus menjadikan keperluan melengkapkan pendaftaran pemain itu sesuatu yang mendesak.

Sementara itu, Marcus Rashford dilaporkan yakin pendaftarannya akan dapat diselesaikan sebelum musim bermula.