Barcelona dilaporkan sudah mengaktifkan operasi mendapatkan seorang pertahanan tengah baharu menjelang jendela perpindahan Januari selepas menyedari kelemahan di bahagian pertahanan mula menjejaskan prestasi pasukan.

Menurut laporan Mundo Deportivo, dua kekalahan berturut-turut kepada Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid menjadi antara faktor yang mendorong pengurusan Barcelona menilai semula keperluan memperkuatkan benteng pertahanan.

Sebelum ini, Barcelona memulakan musim tanpa mendapatkan seorang lagi pertahanan tengah berkualiti. Hansi Flick memilih untuk terus mempercayai Andreas Christensen bagi bergandingan dengan Pau Cubarsi, selain memberikan peranan kepada Gerard Martin dan Eric Garcia.

Bagaimanapun, masalah kecederaan serta kelemahan yang terserlah ketika berdepan pasukan elit Eropah membuatkan Barcelona mula mencari pilihan baharu.

Menariknya, terdapat empat nama yang kini berada dalam radar kelab Catalan itu.

Nama pertama ialah Josko Gvardiol dari Manchester City. Pertahanan Croatia itu dianggap sebagai pilihan impian Barcelona, namun perpindahan tersebut dijangka sukar direalisasikan.

Seterusnya, Alessandro Bastoni dari Inter Milan turut berada dalam senarai. Pemain Itali itu pernah menjadi sasaran Barcelona pada musim panas lalu, tetapi Inter dijangka tidak mudah melepaskan tonggak yang masih terikat kontrak sehingga 2028.

Barcelona juga dikaitkan dengan Lisandro Martinez dari Manchester United. Situasi kontraknya yang dilaporkan bakal berakhir Jun depan boleh membuka peluang kepada Barcelona untuk mendapatkan khidmatnya. Namun, rekod kecederaan pemain Argentina itu menjadi perkara yang perlu dipertimbangkan.

Nama keempat ialah Natan, pertahanan Brazil berusia 25 tahun yang kini bersama Real Betis. Nilai perpindahannya dianggarkan sekitar €30 juta termasuk bonus.

Barcelona dilaporkan mahukan seorang pertahanan berpengalaman yang mampu memberikan impak segera, bukannya sekadar pemain untuk projek jangka panjang.

Keperluan itu cukup penting buat Flick yang mengamalkan sistem garisan pertahanan tinggi dan memerlukan pemain yang pantas, agresif serta mempunyai kemampuan membaca permainan dengan baik.

Kini, Barcelona perlu membuat keputusan sama ada mahu melabur besar untuk mendapatkan nama bertaraf dunia atau memilih pilihan yang lebih realistik bagi menyelesaikan masalah di bahagian pertahanan.