Kemenangan Harry Kane dalam anugerah Ballon d’Or 2026 membawa satu berita baik buat Bayern Munich apabila kelab itu tidak perlu membayar sebarang bonus tambahan kepada Tottenham Hotspur susulan kejayaan penyerang England tersebut.
Menurut laporan Goal, Bayern Munich tidak terikat dengan sebarang klausa bonus khas yang mewajibkan mereka membuat pembayaran kepada Tottenham sekiranya Kane memenangi Ballon d’Or.
Perkara itu didedahkan oleh Sky Sport menerusi laporan wartawan Florian Plettenberg yang mengesahkan bahawa perjanjian perpindahan Kane pada 2023 tidak mengandungi klausa berkaitan kemenangan anugerah individu berprestij tersebut.
Ia dianggap satu kerugian dan kesilapan besar dibuat Spurs. Sedangkan pemain yang tidak setaraf Kane pun ramai dimasukkan klausa tersebut.
Kane menyertai Bayern Munich dari Tottenham dengan nilai perpindahan sekitar €100 juta (RM464 juta).
Dalam kebanyakan urusan perpindahan pemain berprofil tinggi, kelab penjual lazimnya akan memasukkan klausa bonus bersyarat bagi mendapatkan bayaran tambahan sekiranya pemain mencapai sasaran tertentu.
Antaranya termasuk jumlah penampilan, jaringan gol, kejayaan memenangi trofi dan anugerah individu seperti Ballon d’Or.
Bagaimanapun, Tottenham tidak memasukkan klausa sedemikian dalam perjanjian perpindahan Kane.
Sebaliknya, kontrak perpindahan tersebut mempunyai beberapa klausa bonus lain yang berkaitan kejayaan memenangi kejuaraan domestik seperti Bundesliga dan Piala Jerman, selain Liga Juara-Juara Eropah.
Situasi ini bermakna Bayern tidak perlu mengeluarkan satu euro pun kepada Tottenham atas kejayaan Kane memenangi Ballon d’Or buat kali pertama dalam kariernya.
Kejayaan itu hadir selepas Kane menikmati musim cemerlang bersama Bayern, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara penyerang terbaik dunia.
Bagi Bayern, mereka bukan sahaja mendapat khidmat seorang penyerang bertaraf dunia, malah turut terlepas daripada tanggungan bonus berjuta-juta euro yang mungkin dikenakan sekiranya klausa Ballon d’Or dimasukkan dalam perjanjian tersebut.