Bayern Munich dikatakan sudah memberikan lampu hijau buat pemain pertahanan, Matthijs de Ligt untuk berhijrah ke kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.
Dengan kehadiran Vincent Kompany yang membimbing pasukan, khidmat de Ligt seolah-olah tidak diperlukan pengendali kelahiran Belgium tersebut.
Baca Juga:
- Ball Playing Defender: Teras Kepada Taktikal Moden Dibina Dari Belakang
- Ini Barisan Pemain Bayern Munich Yang Digelar Anti-Tuchel
- Euro 2024: Senarai Pemain Dan Jadual Perlawanan (Waktu Malaysia)
Menurut sumber Goal dan Fabrizio Romano, pemain berusia 24 tahun itu telah dibenarkan untuk berhijrah ke Manchester United yang menyaksikan terma peribadi jelas tidak menjadi masalah.
Sehubungan dengan itu, Bayern turut bersetuju dengan nilai £42 juta dimana Manchester United juga memang memerlukan pemain bek tengah baharu selepas Raphael Varane mengucapkan selamat tinggal buat kelab tersebut.
Malah, perbincangan melibatkan kedua-dua pihak sedang giat dijalankan dalam usaha mencari titik noktah untuk membawa de Ligt ke Old Trafford.
Sekiranya The Red Devils berjaya menandatangani kontrak bersama pemain yang memiliki kelebihan fizikal itu, ia akan menjadi tambahan berguna buat Manchester United.
Malah, Erik ten Hag turut pernah membimbing de Ligt ketika mereka berdua masih bersama kelab Liga Eredivise, Ajax.
Matthijs de Ligt sebelum ini dilabel sebagai antara pemain muda berbakat besar hingga mendapat perhatian kelab-kelab ternama Eropah kerana mula bersama skuad utama Ajax pada usia 17 tahun.
Keadaan itu menyaksikan beliau telah dipancing Juventus dengan nilai berjumlah £72.5 juta. Tiga tahun kemudian, beliau berpindah ke Bayern Munich dengan yuran perpindahan bernilai £68 juta.