Pada hari semalam Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) telah mengeluarkan satu hebahan mengenai kawasan kediaman terletak di Pasir Mas dan Tumpat mengalami gangguan bekalan air sehinggalah selepas Hari Raya.

Gangguan itu berlaku kerana berlaku pengurangan air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Kelar, Pasir Mas disebabkan oleh paras air di muka sauk Sungai Kelar menyusut akibat kemarau.

Baca Juga:

Dalam satu kemas kini terbaharu, AKSB memberi jaminan gangguan bekalan air yang berlaku itu akan pulih sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Memetik Sinar Harian, Jabatan Korporat AKSB berkata, ketika ini pihaknya sedang bertungkus-lumus menyelesaikan masalah tersebut yang terkesan akibat fenomena El Nino dan kemarau.

“Antara usaha yang kita ambil ialah pemasangan pam tambahan di luar muka sauk, kerja pembersihan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Kelar dan penyelenggaraan telaga jejari Semuba 1.

“Selain itu, kita turut mendapatkan bantuan khidmat lori tangki daripada rakan operator jika keadaan kritikal ini berterusan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, sebanyak 10 lori tangki juga telah diatur gerak di jajahan Pasir Mas serta 33 buah tangki statik manakala tiga lori tangki turut diatur gerak di jajahan Tumpat.

“Fenomena El Nino dan kemarau menyebabkan paras air sungai di muka sauk Loji Rawatan Air (KR) Kelar berada pada paras 0 meter sekali gus memberi kesan kepada 48,635 akaun pengguna di jajahan Pasir Mas dan Tumpat .

“Bagaimanapun jumlah keseluruhan akaun yang mendapat bekalan air dari LRA Kelar ialah lebih kurang 52,000 akaun,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kerosakan pam disebabkan oleh mendapan pasir dan sampah di LRA Kelar turut menyumbang kepada masalah gangguan tersebut.

Difahamkan kerja-kerja penyelenggaraan dijangka selesai pada 15 April serta bergantung kepada situasi semasa paras air Sungai Kelar.

Terdahulu, seorang Exco meminta rakyat Kelantan untuk bersabar untuk tiga tahun lagi. Ini kerana masalah air di negeri itu dijangka pulih pada tahun 2027 akan datang.

Perkara ini susulan loji-loji yang dinaik taraf dan dibina dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

Sekaligus, pada 2028 nanti Kelantan akan mempunyai lebihan bekalan air.