Kem latihan pusat skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti yang akan bermula pada 29 Ogos bagi menghadapi Pestabola Merdeka 2024 bakal mendapat sentuhan dua individu yang pernah berkhidmat bersama kelab terkemuka Sepanyol, FC Barcelona.
Edu Martinez yang berkhidmat sebagai fisioterapis selama 12 tahun di FC Barcelona sejak 2013 serta menjadi fisioterapis pasukan utama kelab berkenaan dari Disember 2022 hingga Jun 2024 telah pun tiba di tanah air, semalam.
Baca Juga:
- Ini Perancangan Pau Marti Untuk Harimau Malaya
- Pau Marti Diberi Tanggungjawab Sebagai Pemangku Jurulatih Skuad Kebangsaan
- Kim Pan Gon Tak Tahu Kekuatan Serangan JDT
Beliau menyertai skuad Harimau Malaya sebagai fisioterapis untuk kem latihan kali ini dan akan bekerjasama dengan fisioterapis dari FAM, Mohamad Harris Zafran Ahmad Haraman bagi sesi terapi dan pemulihan kecederaan pemain-pemain di sepanjang kem latihan.
Sementara seorang lagi individu ialah Dr. Xavier Valle, bekas doktor pasukan di FC Barcelona sejak 2004 serta menggalas tanggungjawab sebagai doktor pasukan untuk pasukan utama kelab berkenaan sejak musim 2021/22 hingga musim 2023/24.
Beliau bagaimanapun tidak hadir secara fizikal di Kuala Lumpur, sebaliknya akan berperanan sebagai doktor perunding yang akan bekerjasama dengan pasukan perubatan skuad Harimau Malaya bagi meneliti setiap kes kecederaan membabitkan pemain-pemain di sepanjang kem latihan pusat ini.
Dr. Xavier pada Jun 2023 pernah bersama skuad Harimau Malaya di Kuala Terengganu di sepanjang kem latihan pusat bagi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Sejak dari itu, Dr. Xavier terus bekerjasama rapat dengan skuad Harimau Malaya walaupun ketika musim bola sepak biasa berlangsung di Malaysia dengan beliau memberikan pandangannya tentang kecederaan pemain dan akan meneruskan peranannya itu.