Bekas pemain pertahanan kelab ternama Belanda, Feyenoord dilaporkan hampir pasti menyertai Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Pemain yang dimaksudkan ialah Matthew Steenvoorden yang pernah dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan B-19 Belanda.

Baca Juga:

Menurut laporan Berita Harian, perbincangan antara TFC dengan Steenvoorden berjalan lancar dan turut mendapat lampu hijau daripada ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner .

“Setakat ini proses untuk mengikat bekas pemain skuad remaja kebangsaan Belanda itu berjalan dengan lancar dan positif.

“Pemain berusia 31 tahun itu bakal mengisi di posisi pertahanan tengah bagi menggantikan bekas pemain Uzbekistan musim lalu, Sardor Kulmatov yang tidak disambung kontrak.

“Bagaimanapun pemain itu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum diperkenalkan secara rasmi. Jika pemain itu gagal melepasi ujian itu, mungkin kita akan mencari pemain lain sebagai pengganti,” kata sumber dari kelab tersebut.

Bola sepak Asia tidak asing bagi pemain yang berketinggian 188 cm itu kerana beliau beraksi dengan Pakhtakor Tashkent FC dalam saingan Liga Uzbekistan musim lalu.

Lebih menarik, pemain itu juga dikatakan memiliki darah keturunan Indonesia dan berpeluang didaftar untuk kuota pemain import Asean TFC.

Steenvoorden merupakan produk akademi Feyenoord turut hadir dengan membawa pengalaman beraksi dengan beberapa kelab eropah dan bakal memantapkan lagi jentera pertahanan TFC bergandingan dengan Shahrul Nizam Ros Hasni.

Setakat ini TFC sudah mengikat tiga pemain import iaitu penyerang, Ivan Mamut, Nurillo Tukhtasinov (tengah) dan pemain pertahanan kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic yang masih menunggu status pemain naturalisasi.

Difahamkan mereka akan mendaftar 5 pemain import sahaja sebagai langkah untuk menjimatkan perbelanjaan kelab.