Skuad Belanda menghantar isyarat amaran awal di pentas Piala Dunia selepas membelasah Sweden 5-1 dalam aksi Kumpulan F di Houston, awal pagi tadi.
Kemenangan besar di hadapan 69,000 penonton ini menebus kekecewaan seri menentang Jepun sebelum ini, sekali gus meletakkan skuad kendalian Ronald Koeman di ambang pusingan kalah mati.
Belanda kini menerajui Kumpulan F dengan 4 mata, diikuti Sweden (3 mata), Jepun (1 mata), dan Tunisia (0 mata).
Brobbey & Gakpo Cetus Impak Maksimum
Pertaruhan Koeman meletakkan penyerang Sunderland, Brian Brobbey sebagai kesebelasan utama membuahkan hasil apabila pemain berusia 24 tahun itu meledak dua gol awal pada minit ke-5 dan ke-17.
Babak kedua pula menjadi pentas bintang Liverpool, Cody Gakpo. Gakpo yang mencipta assist untuk gol pertama Brobbey, menambah derita Sweden dengan meledak dua gol pantas pada minit ke-47 dan ke-54 untuk meletakkan Belanda selesa mendahului 4-0.
Sweden Cuba Bangkit, Summerville Melengkapkan Kenduri
Sweden yang dibimbing Graham Potter cuba bangkit menerusi gol saguhati Anthony Elanga pada minit ke-59.
Walaubagaimanapun, gandingan berbisa mereka, Alexander Isak dan Viktor Gyokeres, buntu mencari gol tambahan berikutan ketangkasan penjaga gol Belanda, Bart Verbruggen.
Pemain sayap West Ham, Crysencio Summerville, akhirnya melengkapkan malam gemilang The Oranje dengan gol kelima pada minit-minit akhir perlawanan untuk keputusan penuh 5-1.
Selepas ini, Belanda dijadualkan menentang Tunisia, manakala Sweden wajib menang menentang Jepun untuk mengesahkan slot ke pusingan 32 terakhir.