Malaysia meneruskan rentak kemenangan dalam acara futsal Sukan SEA 2025 selepas membelasah Myanmar 8-1 pada aksi ketiga yang berlangsung di Stadium Nonthaburi sebentar tadi.
Pesta jaringan itu terus membuka peluang skuad negara untuk memburu pingat yang menyaksikan saingan lelaki diadakan secara ’round robin’.
Sehubungan dengan itu, skuad kendalian Rakphol Sainetngam perlu menamatkan saingan di kedudukan tiga pasukan terbaik untuk merealisasikan sasaran membawa pulang pingat.
Berdepan lawan yang sudah tewas pada dua perlawanan terdahulu ke atas Indonesia dan Thailand tidak membuatkan skuad negara memandang enteng cabaran diberikan Myanmar.
Sebaliknya, barisan pemain negara tampil dengan cukup meyakinkan dalam usaha memburu jaringan sejak wisel permulaan ditiupkan pengadil perlawanan.
Ia jelas dibuktikan dengan jaringan pembukaan yang terhasil seawal minit ketiga menerusi jaringan sendiri ketua pasukan Myanmar, Myo Myint Soe dalam cubaannya untuk menghalang hantaran lintang Faris Johan.
Empat minit kemudian, Awalluddin Mat Nawi meletakkan nama selaku penjaring menerusi rembatan padu kaki kiri dari jarak dekat yang menewaskan penjaga gol, Htwe Mai Soe Myat.
Ahmad Harith Na’im Nasir menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-13 manakala Danial Dain menambah gol keempat hanya berselang seminit kemudian.
Myanmar mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-16 menerusi jaringan Nyein Min Soe ketika taktikal ‘Power Play’ digunakan oleh pasukan tersebut.
Kegembiraan Myanmar itu hanya bertahan seminit apabila Firdaus Ambiah menjaringkan gol kelima manakala Syahir Iqbal Khan Akbar Khan menjadikan kedudukan 6-1.
Memasuki minit ke-28, Syahir sekali lagi meledakkan jaringan hasil percubaan jarak jauh dari sebelah kiri yang melepasi celah kaki Htwe Mai Soe Myat.
Syed Shahrul Niezam Syed Abdul Rahim menutup pesta jaringan pada minit ke-39 untuk memastikan kemenangan selesa buat skuad negara.
Kemenangan besar ini penting untuk dilakarkan skuad negara yang akan berhadapan dengan Indonesia dalam aksi terakhir pada jam 6.00 petang esok.
Selepas mengharungi tiga perlawanan, Malaysia kini di tangga kedua dengan enam mata, tetapi pencabar terdekat iaitu Indonesia dan Vietnam hanya beraksi dalam dua perlawanan dengan mengumpul tiga mata.