Pasukan Kedah Darul Aman (KDA) memutuskan untuk menagguhkan pelancaran jersi baharu musim ini selepas berdepan kesukaran bagi mencari penaja pasukan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pihak kelab, pihak pengurusan telah mencapai kata sepakat dengan penaja jersi musim ini iaitu AL Sports Sdn Bhd bagi menangguhkan sementara pelancaran jersi baru sehingga pasukan berjaya mendapatkan penaja utama.

Baca Juga:

“Di peringkat awal pada bulan Februari, KDA FC telah secara lisan menerima tawaran tajaan sebagai penaja utama kelab, namun langit tidak selalu cerah, berlaku insiden yang tidak diduga menyebabkan syarikat tersebut menghadapi masalah besar sehingga perniagaan syarikat tersebut merosot yang menyebabkan pihak kelab terpaksa menolak tawaran tajaan di saat akhir.

“Oleh sebab itu, proses pencarian penaja utama diteruskan yang mana ketika ini masih terbuka kepada mana-mana syarikat berminat. KDA FC juga telah berbincang dengan Penaja Bersama KDA FC, AL Sports Sdn. Bhd. (ALX, Penaja Kit Rasmi), berkenaan jersi perlawanan Liga Super musim 2024/25 tanpa slot penaja utama dan keputusan yang dicapai adalah seperti berikut:

a. AL Sports Sdn. Bhd. tidak akan mengeluarkan kit jersi perlawanan Liga Super KDA FC musim 2024/25 sehingga penaja utama kelab disahkan, ini berdasarkan muafakat bersama antara KDA FC & AL Sports Sdn. Bhd. dengan mengambil kira kos efektif dan pemasaran AL Sports Sdn. Bhd. dalam situasi menang-menang;

b. Untuk perlawanan bulan Mei, KDA FC akan memakai kit jersi Pra-Musim 2024/25 buat sementara bagi tempoh sekurang-kurangnya 3 perlawanan pertama Liga Super;

c. Slot penaja utama masih terbuka dengan pihak pengurusan kelab sedang giat menarik bakal penaja baharu sehingga satu tempoh yang ditetapkan.

Di ruangan komen, Kedah menyatakan mereka memerlukan dana sebanyak RM8 hingga RM10 Juta kepada mana-mana penaja yang berminat untuk bersama pasukan musim ini.