Pernah tak kamu berniat nak tidur pukul 11 malam, tetapi akhirnya masih menghadap telefon sampai pukul 2 pagi?

Mulanya sekadar nak tengok satu video. Kemudian muncul video lain, disusuli beberapa hantaran di media sosial. Sedar-sedar, masa berlalu begitu pantas sedangkan mata masih belum mahu dilelapkan.

Lebih menarik, ada antara kita yang sebenarnya sudah penat selepas seharian bekerja, tetapi masih sanggup mengorbankan waktu tidur demi menghabiskan masa dengan telefon.

Tabiat ini sering dikaitkan dengan fenomena yang dikenali sebagai bedtime procrastination*, iaitu kecenderungan melambatkan waktu tidur walaupun kita tahu badan memerlukan rehat.

Ada juga istilah revenge bedtime procrastination, yang menggambarkan keadaan apabila seseorang sengaja mengambil masa pada waktu malam untuk menikmati kebebasan peribadi selepas seharian sibuk dengan kerja atau tanggungjawab.

Bagi sesetengah orang, waktu malam terasa seperti satu-satunya masa yang mereka miliki untuk diri sendiri.

Masalahnya, tabiat ini boleh menyebabkan waktu tidur semakin pendek. Apabila berlarutan, kekurangan tidur boleh menjejaskan tumpuan, emosi, produktiviti dan tahap tenaga pada keesokan harinya.

Lebih membimbangkan, kita mungkin mula bergantung pada kopi atau minuman berkafein untuk melawan rasa mengantuk, sebelum mengulangi rutin sama pada malam berikutnya.

Jadi, bagaimana nak hentikan tabiat ini?

Pertama, tetapkan waktu untuk meletakkan telefon sebelum tidur. Kamu boleh bermula dengan 15 hingga 30 minit lebih awal daripada kebiasaan.

Kedua, aktifkan mod jangan ganggu supaya notifikasi tidak membuatkan kamu berulang kali mencapai telefon.

Ketiga, gantikan tabiat menatal skrin dengan aktiviti yang lebih menenangkan seperti membaca buku, mendengar muzik perlahan atau melakukan rutin penjagaan diri.

Paling penting, jangan tunggu sehingga badan terlalu letih untuk memberikan perhatian kepada waktu tidur.

Menjaga kesihatan bukan sekadar bersenam dan menjaga pemakanan. Memberikan tubuh rehat yang mencukupi juga sebahagian daripada usaha untuk hidup lebih sihat.

Sebab akhirnya, telefon boleh menunggu sehingga esok. Tetapi badan kamu memerlukan rehat malam ini.

#SihatItuSeksi