Pernah terfikir apa yang anda boleh buat dengan RM10.7 juta? Beli beberapa buah banglo mewah, deretan kereta sport, atau mungkin bersara terus dan melancong pusing dunia.

Tetapi, bagi seseorang di Malaysia, nilai wang sebanyak ini mungkin dibelanjakan hanya untuk memiliki sebuah nombor plat kenderaan!

Berita yang sedang hangat diperkatakan di media sosial hari ini pastinya membuatkan ramai melopong apabila tular hantaran mendakwa nombor pendaftaran H1 memegang takhta bidaan tertinggi dengan nilai mencecah RM10.7 juta.

Ia bukan sahaja satu angka yang sangat luar biasa, malah jika benar, ia mencetuskan fenomena baharu dalam sejarah pembidaan nombor plat tempatan.

Bidaan Terhangat Melalui Sistem JPJeBid

Bagi anda yang tertanya-tanya dari mana datangnya plat siri H ini, ia sebenarnya adalah siri nombor pendaftaran khas terbaharu yang diperkenalkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Proses bidaan untuk siri H1 hingga H9999 ini telah dibuka secara rasmi kepada umum menerusi sistem digital JPJeBid.

Ia berlangsung selama lima hari bermula 16 September lalu dan ditutup pada 20 September.

Tepat pada 21 September, keputusan bidaan diumumkan dan siri H1 terus memonopoli perhatian ramai di media sosial.

Bidaan Plat H1 Catat RM10.7 Juta, JPJ Sahkan Penutup Siri Huruf Tunggal
Sumber Gambar: Threads

Beberapa hantaran mendakwa bidaan bagi plat H1 mencecah angka tidak masuk akal iaitu RM10.7 juta, diikuti dengan nilai bidaan kedua tertinggi pada RM666,666 dan RM555,777.

Namun begitu, sehingga kini, pihak JPJ belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengesahkan kesahihan jumlah bidaan RM10.7 juta tersebut.

Siri Huruf Tunggal Terakhir, Bakal Jadi ‘Rare Item’

Mungkin ada yang beranggapan pembida tersebut sekadar mahu menunjuk-nunjuk, tetapi jika dinilai dari sudut pandang pelaburan dan nilai sentimental, beliau mungkin sangat arif dengan apa yang dibelinya.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, siri H ini mempunyai keistimewaan dan sejarahnya yang tersendiri lapor Harian Metro.

Semasa majlis pelancarannya pada 14 September lalu, beliau mengesahkan bahawa siri H adalah siri awalan pendaftaran menggunakan format huruf tunggal terakhir yang akan ditawarkan oleh JPJ dan kerajaan.

Sebab itulah siri H ini sangat istimewa. Ia melambangkan penutup bagi kategori huruf tunggal di Malaysia.

Pemilihan huruf H pula bukan secara kebetulan, ia membawa maksud ‘Harmoni’, sejajar dengan mesej perpaduan yang dibawa bersempena sambutan Hari Malaysia.

Netizen Terkejut, Bukti Ramai Jutawan ‘Low Profile’

Sejak angka bidaan ini tersebar luas, pelbagai reaksi mencuit hati dan sinis dapat dilihat di ruangan komen media sosial. Rata-rata pengguna maya nyata terkejut dan ada juga yang sukar percaya dengan nilai bidaan yang dipaparkan.

Biar betul bida sampai RM10.7 juta? Duit tu kalau buat modal perniagaan boleh bantu ramai orang miskin, luah seorang netizen yang terkejut dengan angka tersebut.

Bagi orang awam, jika angka RM10.7 juta itu benar, ia membuktikan wujudnya golongan elit di Malaysia yang tidak kisah berbelanja besar demi gaya hidup, kepuasan peribadi atau melihatnya sebagai satu aset pelaburan bernilai tinggi.

Sama ada bidaan RM10.7 juta itu fakta atau sekadar khabar angin, kita nantikan sahaja pengumuman rasmi daripada pihak JPJ.

Apa pula pendapat anda? Jika anda ada RM10.7 juta tunai di tangan hari ini, adakah anda sanggup melaburkannya untuk sekeping plat kenderaan paling eksklusif di Malaysia, atau ada perancangan lain yang lebih berbaloi?