Pelakon dan pelawak, Azlee Jaafar dilaporkan keadaan kesihatannya sudah semakin stabil selepas melakukan prosedur peletakan sten di Institu Jantung Negara (IJN) pada 6 Jun lalu.

Menurut laporan Berita Harian, pelawak itu memaklumkan dia sudah boleh keluar hospital namun dinasihatkan berehat selama sebulan untuk kesembuhan di hospital. Bagaimanapun , dia meminta untuk pulang lebih awal ekoran bil hospital yang semakin tinggi.

Sumber Gambar: Buletin TV3

“Keadaan saya bertambah baik selepas melakukan prosedur sten. Saya sudah keluar hospital dan berehat di rumah. Kalau nak diikutkan doktor memang tak benarkan saya pulang untuk biarkan jantung saya benar-benar pulih, tapi saya mohon keluar.

“Saya bukan tak nak duduk di hospital, tapi empat hari pun bil sudah mencecah RM40,000. Saya pula tiada insuran sebab dulu saya ada penyakit hempedu dan hati. Keluarga berkongsi duit, selain bantuan Yayasan Selangor,” kongsinya lag.

Berkongsi dengan lebih lanjut, doktor memaklumkan keadaan Azlee sangat kritikal kerana jantungnya tersumbat sebanyak 99 peratus dan salah satu urat injap jantungnya putus.

“Saya terus menjalani pembedahan pada hari sama sebab doktor kata kalau lambat lima minit mungkin saya sudah tiada. Pembedahan dilakukan selama tiga jam, bila sedar sahaja saya sudah berada di CCU,” katanya.

Dalam pada itu, doktor turut menasihati Azlee untuk menjaga pemakanan dan elak makanan berkolesterol tinggi selepas ini.

Dia juga sempat meluahkan rasa syukur dengan kunjungan orang ramai dan juga bantuan yang diterima sepanjang berada di sana.