Pada ketika ini, perbicaraan 1MDB sedang dijalankan dalam mencari kebenaran sebenar. Salah satu perkara yang hangat dibahaskan adalah berkaitan dana berbilion-bilion yang dipindahkan secara haram kepada seseorang.

Menerusi laporan terkini, Zeti Akhtar Aziz memberitahu perbicaraan 1MDB Najib Razak bahawa Bank Negara (BNM) mengambil tujuh tahun untuk mengesan sebahagian besar dana 1MDB dipindah ke akaun dikawal Low Taek Jho atau Jho Low.

Baca Juga:

Pada 2009, 1MDB menjalin usaha sama dengan PetroSaudi International (PSI), yang memerlukan syarikat itu menyuntik modal USD1 bilion.

BNM memberi kelulusan untuk 1MDB memasukkan suntikan tunai ke akaun bank 1MDB-PSI, tetapi hanya USD300 juta (RM1.2 bilion) dipindahkan.

Selepas itu, muncul baki USD700 juta (RM3.2 bilion) dimasukkan ke akaun syarikat Jho Low, Good Star Limited di bank swasta RBS Coutts.

Menjelaskan bagaimana transaksi itu dikesan, Zeti berkata: “Ia usaha terkumpul pengawal selia dari seluruh dunia, bersama siasatan dalaman BNM melalui Sistem Maklumat Transaksi Antarabangsa (ITIS) dan kod Swift.”

Katanya lagi, siasatan itu dimulakan selepas 1MDB gagal memberi maklumat untuk menjelaskan transaksi tersebut.

Zeti memberitahu mahkamah, BNM turut menyiasat Deutsche Bank Bhd pada 2013 berhubung pemindahan dana asing membabitkan 1MDB, tetapi tiada tindakan diambil ke atas bank itu.

“1MDB menyerahkan maklumat salah. Deutsche Bank bertanya soalan susulan kepada 1MDB, tetapi mereka hanya mendapat jawapan ia (Good Star) anak syarikat PSI.”

Beliau berkata, bank bertanggungjawab melakukan usaha wajar dan melaporkan transaksi dalam sistem perbankan dalam talian sebelum menghantar dana.

“Kadar kiriman wang asing harian (di Malaysia ketika itu) ialah USD12 bilion (RM55 bilion). BNM juga tidak dapat melakukan usaha wajar ke atas akaun seseorang individu. Malah, BNM menyatakan tidak bertanggungjawab kerana ia bukan kewajiban mereka di bawah undang-undang.

Sumber