Langkah Persib Bandung merekrut Bojan Hodak pada 26 Julai 2023 membuahkan hasil lumayan selepas pengendali kelahiran Croatia itu membawa kelab tersebut muncul juara Liga 1 Indonesia 2023/24.
Pada perlawanan akhir kedua yang berlangsung semalam, Persib Bandung menang 3-1 ke atas Madura United untuk mengesahkan kemenangan menerusi agregat 6-1.
Baca Juga:
- Bojan Hodak Akui Peraturan Liga Indonesia Sangat Lucu
- Bojan Hodak Beri Sebab Mengapa Persib Tandatangani Kevin Ray Mendoza
- Radja Nainggolan Anggap Pengadil Indonesia Sebagai Tak Masuk Akal
Kejayaan yang berjaya mengulangi pencapaian dilakarkan kelab tersebut pada musim 2014 ketika dibimbing oleh Djadjang Nurdjaman.
Selain Djadjang, Persib Bandung pernah muncul juara liga 1994/95 dibawah kendalian Indra Thohir..
Sehubungan dengan itu, Bojan menjadi jurulatih asing pertama membawa kejayaan buat skuad dikenali sebagai Pangeran Biru itu dalam menjulang kejuaraan liga.
Gagal mencipta sebarang jaringan pada babak pertama, Persib akhirnya berjaya mendapatkan jaringan pembukaan ketika aksi memasuki minit ke-60 menerusi David da Silva.
Da Silva mudah menolak masuk bola selepas percubaan awal Ciro Alves diselamatkan penjaga gol Madura United, Lucas Frigeri.
Ciro terus memainkan peranan penting selepas beliau melakukan larian deras ke dalam kawasan penalti dan kemudiannya memberikan ruang buat Marc Klok untuk menambah jaringan kedua pada minit ke-86.
Meskipun tidak menjaringkan gol, Ciro cemerlang dalam mencipta bantuan jaringan ketiga pada perlawanan ini apabila beliau melakukan umpanan buat Beckham Putra yang mudah menjadikan kedudukan 3-0.
Sepakan penalti Slamet Nurcahyono pada masa kecederaan tidak memberikan sebarang makna buat Madura United yang terpaksa berpuas hati selaku naib juara dan menjadi malam gemilang buat Persib Bandung.
Kempen 2023/24 jelas merupakan musim penuh mendebarkan buat Persib Bandung kerana mereka bermula dengan agak perlahan hasil tiga mata pada empat perlawanan awal.
Persib mencatatkan keputusan seri bertemu Madura United, Arema FC dan Dewa United manakala tewas ketika berhadapan PSM Makassar untuk berada di tangga ke-16 pada ketika itu.
Keadaan yang menjurus kepada bergantinya pengendali pasukan daripada Luis Milla ke Bojan Hodak.
Namun, semuanya cabaran itu dihadapi dengan penuh sabar oleh Bojan Hodak dan anak-anak buahnya sekali gus menghadiahkan kejayaan manis buat seluruh peminat Persib Bandung.