Kapten Manchester United, Bruno Fernandes mencuri perhatian selepas dilaporkan menekan butang ‘like’ pada satu hantaran Instagram mengenai individu setia yang akhirnya hilang kepedulian apabila terus dipergunakan.

Tindakan pemain tengah Portugal itu mencetuskan spekulasi susulan keputusannya diketepikan oleh Michael Carrick ketika Manchester United tewas 0-3 kepada Bournemouth di Old Trafford, Ahad lalu.

Hantaran tersebut memaparkan satu figura gergasi yang menahan batu besar daripada menggelongsor ke arah sebuah kampung.

Namun, apabila figura itu secara tidak sengaja merosakkan sebuah bangunan ketika cuba melindungi penduduk, mereka mula menyalahkannya.

Akhirnya, figura itu melepaskan batu tersebut sehingga seluruh kampung musnah.

Video berkenaan disertakan dengan mesej: “Never push a loyal person to the point where they no longer care,” atau “Jangan menekan seseorang yang setia ke satu tahap di mana mereka sudah lagi tak peduli lagi.”

Dalam bahasa Melayu, mesej itu membawa maksud jangan sesekali menekan seseorang yang setia sehingga dia tidak lagi mengambil peduli.

Kapsyen hantaran itu turut menyebut bahawa individu yang selama ini memastikan semuanya berjalan lancar selalunya menjadi orang yang paling kurang mendapat perhatian.

Tindakan Fernandes itu hadir selepas dia tidak diturunkan langsung ketika United dibelasah Bournemouth. Carrick memilih untuk mengekalkan kaptennya di bangku simpanan, beberapa hari selepas Fernandes secara terbuka mempersoalkan pendekatan taktikal pasukan ketika tewas 1-4 kepada Como dalam aksi Liga Juara-Juara.

Fernandes sebelum ini menyatakan keputusan untuk tidak melakukan tekanan secara satu lawan satu datang daripada barisan kejurulatihan.

Carrick pula menegaskan bahawa keputusan mengetepikan Fernandes dibuat atas pertimbangan bola sepak.

Kekalahan kepada Bournemouth menambahkan lagi tekanan terhadap Carrick yang sedang berdepan prestasi buruk Manchester United.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan bahawa tindakan Fernandes menyukai hantaran tersebut ditujukan secara khusus kepada Carrick atau pihak kelab.