Kapten Manchester United, Bruno Fernandes mengesahkan kelab itu sudah menawarkan kontrak baharu kepadanya. Bagaimanapun, pemain tengah Portugal itu menegaskan tiada rundingan sedang berlangsung ketika ini.
Bercakap kepada Sky Sports, Bruno menjelaskan tawaran tersebut menunjukkan bahawa Manchester United masih mahu mengekalkannya di Old Trafford.
Namun, beliau memilih untuk mengetepikan dahulu soal kontrak kerana menganggap keutamaan kelab ketika ini adalah memperbaiki prestasi pasukan.
“Kami bercakap mengenai kontrak pada penghujung musim lalu. Kemudian, pada awal musim ini, kami kembali berbincang mengenainya.
“Tetapi melihat kepada keadaan pasukan dan kelab, saya memilih untuk mengetepikan perkara itu kerana saya tidak fikir sekarang masa yang sesuai untuk saya atau kelab berbincang mengenai rundingan kontrak.
“Perkara paling penting sekarang adalah memastikan kelab kembali memenangi perlawanan,” katanya.
Bruno turut menafikan dakwaan bahawa beliau menuntut kenaikan gaji atau kontrak yang lebih panjang sebagai syarat untuk terus bersama Manchester United.
Malah, beliau mendakwa mempunyai peluang untuk menyertai kelab lain yang mampu menawarkan pendapatan jauh lebih lumayan.
“Tiada rundingan sedang berlangsung. Tetapi saya melihat ada orang mengatakan saya meminta lebih banyak wang dan mahukan kontrak untuk tempoh lebih panjang.
“Jika saya mahukan lebih banyak wang, saya tidak akan berada di sini. Saya mempunyai tempat lain untuk pergi dan memperoleh pendapatan jauh lebih besar berbanding di Manchester United.
“Saya juga boleh berada di tempat yang cuacanya jauh lebih panas berbanding Manchester!” selorohnya.