Kerajaan Indonesia kini merancang mengharamkan transaksi barangan menerusi media sosial mengikut peraturan dagangan baharu menurut kenyataan timbalan menteri perdagangan republika, Jerry Sambuaga baru-baru ini.

Menurut laporan Nikkei, timbalan menteri tersebut telah beberapa kali menegaskan bahawa penjual e-dagang atas talian ini telah ‘membuang’ harga di platform media sosial. Hal ini sekaligus boleh menggugat pasaran luar talian dalam ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

Baca Juga:

Sumber Gambar: JPNN.com

Mengulas lanjut lagi, peraturan perdagangan semasa di Indonesia tidak meliputi secara langsung tentang transaksi yang berlaku di media sosial.

Memberi contoh sesi penjualan langsung menerusi platform TikTok yang menyediakan fungsi tersebut, Jerry Sambuaga berpendapat yang media sosial dan perdagangan sosial tidak boleh digabungkan.

Mengikut perancangan, perundangan baharu yang bakal dibentangkan bakal mengharamkan aktiviti jual-beli di media sosial, dan meminta ia diasingkan sebagai platform atau aplikasi berasingan.

Pihak TikTok memberi maklum balas dengan mengatakan pengasingan media sosial dan e-dagang kepada dua platform yang berbeza akan menghalang inovasi di samping bakal merugikan peniaga dan pengguna di negara itu.

Syarikat itu berkata aplikasinya mempunyai 325 juta pengguna Asia Tenggara yang aktif setiap bulan dengan 125 juta daripadanya berada di Indonesia. Selain itu, terdapat dua juta perniagaan kecil di TikTok Shop di Indonesia.

Pelaksanaan ini juga dijangka mungkin memberikan sedikit kesan kepada landskap edagang global, dan bagaimana integrasi jual-beli dilakukan menerusi media sosial di negara itu.