Allahyarham Tun Daim Zainuddin merupakan seorang tokoh politik dan usahawan yang dikagumi dan disegani ramai sama ada di negara sendiri, mahupun luar negara.

Walaupun beliau sudah tiada, bangunan komersial miliknya, Menara Ilham Baru yang juga dikenali sebagai Menara IB berdiri teguh tersergam, indah di ibu kota negara.

Baca Juga:

Menerusi video TikTok Najwah Halimah, beliau berkongsi pengalamannya di mana bekas menteri kewangan dedahkan sebab menamakan menara tinggi yang terletak di Ampang Park itu sebagai ‘Menara Ilham’ (Menara IB).

“Supaya ia menjadi inspirasi kepada anak bangsa untuk berjaya,” jawab Tun Daim pendek, namun mendalam maksudnya.

Beliau ingin bangunan tinggi itu menjadi simbol aspirasi dan mahu lihat setiap generasi muda Malaysia capai kecemerlangan.

Setelah bertemu dengan Tun Daim secara peribadi beberapa kali, Najwah menyifatkan beliau sebagai seorang tokoh yang tidak pernah mencari publisiti, meskipun sumbangannya terhadap negara sangat besar.

Walaupun tokoh usahawan dan politik itu dianggap sebagai figura misteri — Tun Daim sangat mesra, terutama dengan anak muda.

Tun Daim bukan jenis yang suka mendedahkan dirinya. Tidak ada memoir yang ditulis, dan buku mengenainya juga terhad. Namun, yang lebih menarik adalah jaringan kenalannya yang luas, merentasi pelbagai benua, hingga ke Afrika.

“Pengalaman beliau yang mendalam dan pencapaian luar biasa menjadikan beliau seorang tokoh yang amat dihormati,” ujar Najwah.

Pada 13 November lalu,  Tun Daim Zainuddin meninggal dunia di Hospital Assunta di Petaling Jaya, pada usia 86 tahun.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah di Persiaran Bukit Tunku. Solat jenazah dibuat selepas solat Asar di Masjid Wilayah, Jalan Duta.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 1.