Kejayaan Chen Tang Jie–Toh Ee Wei menjuarai Indonesia Masters 2026 bukan sekadar mengangkat nama Malaysia di pentas badminton antarabangsa.

Malah, ia turut membawa satu mesej yang cukup besar tentang identiti dan jati diri negara.

Mereka berjaya menewaskan Mathias Christiansen-Alexandra Boje dari Denmark di Istora Senayan pada aksi yang berlangsung selama 57 minit.

Selepas berakhirnya perlawanan tersebut, pasangan beregu campuran negara itu memilih untuk menjawab soalan temu bual dalam bahasa melayu, walaupun pengacara mengemukakan soalan dalam bahasa Inggeris.

Tindakan itu mendapat sorakan hangat para penyokong yang memenuhi segenap ruang di stadium tersebut.

Malah, ia turut mencerminkan usaha memartabatkan bahasa melayu di peringkat antarabangsa, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mengangkat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, komunikasi dan kebanggaan nasional.

Lebih signifikan, kedua-dua atlet ini merupakan pemain berbangsa Cina sekali gus membuktikan bahawa bahasa melayu bukan sekadar bahasa rasmi di atas kertas, tetapi bahasa penyatuan yang digunakan secara yakin oleh atlet Malaysia di pentas dunia.

Seperti atlet dari Jepun, Korea Selatan dan Perancis yang tidak teragak-agak menggunakan bahasa ibunda mereka ketika beraksi di luar negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei juga menunjukkan bahawa membawa nama Malaysia bukan hanya melalui kemenangan, tetapi juga melalui bahasa dan identiti yang dibawa bersama.

Di saat dunia memberi perhatian kepada kejuaraan yang dimenangi, detik di luar gelanggang ini menjadi cerminan nilai sebenar seorang atlet Malaysia.

Menang dengan prestasi dan berdiri megah dengan jati diri negara!