Pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mempamerkan semanga juang serta disiplin tinggi untuk membawa mereka ke pentas final BWF World Tour Finals 2024.

Berdepan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang merupakan bekas pasangan ranking nombor satu dunia jelas memberikan kesukaran buat Sze Fei dan Izzuddin.

Baca Juga:

Ia jelas dapat disaksikan apabila gandingan dari Indonesia itu mempamerkan aksi kemas walaupun diberikan tentangan sengit pada set pertama untuk meraih kemenangan 21-17.

Tidak mahu terus dikecewakan, pasangan ranking ketujuh dunia itu memperkemaskan aksi dan mendahului lawan dengan selesa pada kedudukan 15-10.

Keyakinan semakin meningkat untuk Sze Fei-Nur Izzuddin mencuri set kedua dengan kemenangan 21-16 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Set ketiga jelas memperlihatkan drama yang cukup mendebarkan apabila mereka bangkit daripada ketinggalan jauh dan pada penghujung permainan Fajar-Rian Ardianto sudah memegang mata akhir sebanyak enam kali.

Namun, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin membuktikan kekuatan mental mereka di tahap tertinggi untuk menyerap segala tekanan itu.

Kemuncak kekentalan yang dipamerkan akhir disudahi dengan kejayaan manis buat wakil Malaysia itu dengan kemenangan 27-25 bagi mengesahkan kemaraan ke pentas final.

Menanti mereka di esok ialah pemenang antara Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark dan satu lagi pasangan Indonesia iaitu Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani yang akan beraksi sesama sendiri sebentar lagi.

Dengan dua wakil yang mara ke pentas final, edisi 2024 jelas menjadi kempen terbaik buat kem negara dimana kita tidak pernah mempunyai wakil di perlawanan akhir sejak pertandingan ini diperkenalkan pada 2018.