Jenama kenderaan mewah milik BYD, YANGWANG, melancarkan sedan elektrik (EV) penuh ultra-mewah, YANGWANG ALTIOR, dalam satu acara kemunculan sulung global di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Model berukuran 5,600 mm panjang, 2,030 mm lebar, 1,590 mm tinggi, dan berjarak roda 3,500 mm ini direka berasaskan inspirasi bejana gangsa purba China (ding).
Bahagian luaran menampilkan gril hadapan bermotifkan seni barangan kemas, pintu bergaya koc (coach doors) dengan bukaan sehingga 90 darjah di belakang, serta rim 21 inci.
Ruang dalaman empat tempat duduknya dilengkapi kemasan batu jed kuning Hetian, sulaman sutera Suzhou, kerusi graviti sifar dengan fungsi urutan, skrin siling 21.4 inci, peti sejuk dwi-zon, sistem audio Dynaudio dengan 39 pembesar suara, serta lengkap bersama payung khas berilhamkan kompleks Temple of Heaven di Beijing.
Dari aspek prestasi, ALTIOR dibina di atas e-Platform dengan empat motor elektrik bebas yang menawarkan fungsi pusingan tangki (tank-turn), kestabilan semasa tayar pecah pada kelajuan tinggi, dan keupayaan pengapungan kecemasan di atas air.
Jentera ini turut dilengkapi suspensi aktif penuh DiSus generasi baharu, sistem bantuan pemanduan God’s Eye A, serta Bateri Blade Generasi Kedua yang mencatatkan jarak gerak melebihi 1,000 km (kitaran CLTC) dengan sokongan pengecasan pantas FLASH Charging. Model ini ditawarkan dalam varian Executive dan edisi terhad Bespoke bertemakan Shanhe Dingyun.
Naib Presiden Eksekutif BYD, Stella Li, berkata, “ALTIOR menggabungkan kedalaman budaya China dan cita-cita kami untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa bagi mereka yang mengalaminya. Jurutera, pereka bentuk, dan tukang mahir kami telah bekerjasama memberikan warisan tersebut sentuhan kontemporari melalui reka bentuk, pertukangan tangan, dan teknologi. Hasilnya ialah kenderaan dengan kemewahan pada setiap perincian dan kuasa di dalam jiwanya. ALTIOR mewakili visi kami bagi masa depan kemewahan China.”
Sementara itu, Pengarah Reka Bentuk BYD, Wolfgang Egger, menambah, “YANGWANG ALTIOR bukan sekadar sebuah kereta; ia adalah suatu pernyataan reka bentuk, budaya, dan pertukangan tangan. Diilhamkan oleh bejana purba ding yang melambangkan kekuatan, maruah, dan keharmonian, kami telah menterjemahkan ribuan tahun warisan budaya ke dalam ekspresi kontemporari ultra-mewah. Dengan ALTIOR, kami menghidupkan falsafah reka bentuk kami, ‘Greatness Takes Form’, di mana tradisi bertemu inovasi dan setiap perincian membawa ceritanya yang tersendiri.”
Menurut portal The Supercar Blog, sedan mewah EV ini ditawarkan bermula 2.08 juta Yuan (~RM1.26 juta).