Selepas berakhirnya saingan All England, cabaran pemain badminton negara beralih ke Kejohanan Terbuka Switzerland 2024 yang sudah memasuki saingan suku akhir, malam ini.

Seramai empat wakil negara berjaya meneruskan kemaraan menerusi Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Baca Juga:

Hasrat untuk melihat Lee Zii Jia turut melayakkan diri tidak kesampaian selepas beliau tewas ‘straight set’ di tangan pemain India, Srikanth Kidambi.

Berdasarkan ‘Order of Play’ yang dikeluarkan penganjur kejohanan, Wei Chong-Kai Wun akan beraksi pada perlawanan pertama jam 9.00 malam, Hon Jian-Haikal dijangka beraksi pada 10.05 malam dan kemudiannya disusuli Soon Huat-Shevon kira-kira jam 10.40 malam.

Sementara itu, Tang Jie dan Ee Wei yang merupakan pasangan beregu campuran nombor satu negara hanya akan beraksi pada jam 1.50 pagi esok.

Jadual perlawanan suku akhir Terbuka Switzerland 2024 melibatkan pemain Malaysia: 

1) Man Wei Chong-Tee Kai Wun (18) lawan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin (13) – Indonesia

Ini merupakan pertemuan kedua melibatkan kedua-dua pasangan dimana Wei Chong dan Kai Wun menang pada aksi sulung di Malaysia Masters 2023 dengan keputusan 21-17, 22-20.

2) Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri (32) lawan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani (39) – Indonesia

Pasangan tangan kiri negara itu masih segar dengan kejayaan menundukkan Gutama-Isfahani pada aksi final Orlean Masters 2024 tempoh hari.

Ia pasti meningkatkan semangat mereka untuk sekali lagi menewaskan lawan dari Indonesia tersebut.

3) Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (14) lawan Mathias Christiansen-Alexandra Boje (10) – Denmark 

Sama seperti dua wakil negara tersebut, pasangan kekasih ini juga turut memegang rekod pertemuan 1-0 dimana mereka menang 21-6, 23-21 ketika Indonesia Masters 2023.

4) Toh Ee Wei-Chen Tang Jie (9) lawan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran (18) – Thailand

Kedua-dua pasangan masih belum pernah bertemu sebelum ini dan diharapkan Tang Jie-Ee Wei dapat mengambil kesempatan kerana Supak Jomkoh turut beraksi dalam acara beregu lelaki.