Pada Rabu ini, satu cadangan pemberian pampasan kepada keluarga wanita warga India yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur akan dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Memetik portal Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu sudah dirancang dan akan dikemukakan dalam mesyuarat berkenaan.

Baca Juga:

“Saya ingat nak bawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet (untuk dibincangkan) insya-Allah minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Floria Diraja Putrajaya 2024 di sini semalam.

Tambahnya lagi, Dr Zaliha berkata kerajaan sedia mempertimbangkan untuk pemberian pampasan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita berusia 48 tahun itu yang memasuki hari kesembilan dihentikan pada hari semalam.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata semua permohonan kebenaran merancang pembinaan di ibu kota perlu disertakan dengan laporan geoteknikal yang disediakan oleh konsultan bertauliah.

“Syarat ini terpakai kepada permohonan yang sudah ada kelulusan tetapi arahan pembangunan belum dikeluarkan, serta permohonan yang masih dalam proses dan permohonan yang akan dikemukakan. Langkah ini akan dilaksanakan serta-merta,” katanya.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mencari mangsa dihentikan serta-merta.

Keputusan itu dibuat selepas mengkaji semula laporan daripada semua agensi berkaitan operasi SAR.

Pada masa sama faktor keselamatan yang mendorong kepada keputusan menghentikan operasi SAR tersebut.

Sumber