Legenda Liverpool, Jamie Carragher mengakui beliau masih belum yakin dengan pertahanan Liverpool menjelang musim baharu selepas The Reds tewas menerusi penentuan penalti dalam aksi Perisai Komuniti semalam.

Liverpool telah membelanjakan hampir £265 juta untuk mendapatkan pemain baharu pada musim panas ini dan jumlah itu boleh mencecah lebih £400 juta sekiranya mereka melengkapkan perpindahan Alexander Isak dari Newcastle.

Baca Juga:

Arne Slot mungkin hanya membawa masuk Federico Chiesa pada musim lalu tetapi beliau mendapat sokongan besar pada jendela perpindahan kali ini dan melakukan rombakan terhadap skuad yang sememangnya sudah mantap.

Jamie Carragher
FILE PHOTO: Soccer Football – Premier League – Everton v Liverpool – Goodison Park, Liverpool, Britain – June 21, 2020 Pundit Jamie Carragher before the match, as play resumes behind closed doors following the outbreak of the coronavirus disease (COVID-19) Peter Powell/Pool via REUTERS

Namun, Liverpool gagal menewaskan Crystal Palace pada aksi di Wembley itu dan akhirnya tewas kepada The Eagles menerusi penentuan penalti sekali gus mendorong Carragher meluahkan kebimbangannya dan mengakui belum yakin dengan kekuatan skuad tersebut.

Kerisauan Carragher

“Liverpool kelihatan mantap ketika menyerang tetapi rapuh di bahagian pertahanan, seperti yang kita lihat sepanjang pra-musim.

“Kebanyakan gol yang dilepaskan Liverpool berpunca daripada strategi bertahan satu lawan satu secara terlalu agresif sehingga meninggalkan ruang di bahagian belakang.”

“Hari ini (merujuk kepada aksi bertemu Palace), Kerkez tertarik masuk ke dalam mengikuti Sarr, menyebabkan Gakpo terpaksa mengejar pemain sayap lawan,” ujar Carragher menurut ciapannya di laman X peribadi beliau.

Walaupun Virgil van Dijk dan Ibrahima Konate dianggap antara gandingan pertahanan tengah terkuat di dunia, kedua-duanya sekali-sekala tetap terdedah kepada kesilapan.

Pertahanan dari Belanda itu semakin berusia manakala Konate juga sering mengalami kecederaan. Ia memberi bayangan bahawa kelemahan di benteng pertahanan mungkin akan lebih terdedah musim ini.

Selain gandingan utama tersebut, Joe Gomez merupakan satu-satunya pilihan senior yang tinggal selepas Jarell Quansah dijual ke Bayer Leverkusen.