Legenda Liverpool, Jamie Carragher mengkritik keputusan Mohamed Salah menyertai kelab Turkiye, Trabzonspor sambil menyifatkan pemain Mesir itu masih terlalu bagus untuk beraksi di Turkish Super Lig.

Penyerang itu akhirnya menamatkan spekulasi berbulan-bulan mengenai masa depannya apabila bersetuju menyertai Trabzonspor yang berpangkalan di Stadium Akyazı, selepas meninggalkan Anfield sebagai ejen bebas dalam satu detik perpisahan yang penuh emosi.

Salah disambut ribuan penyokong yang begitu teruja sebaik tiba di Turkiye, namun Carragher percaya bintang Mesir itu telah melakukan satu kesilapan besar dalam menentukan haluan kariernya.

Carragher Akui Salah Terlalu Bagus Untuk Main Di Turkiye

Salah difahamkan telah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Trabzonspor meskipun sebelum ini turut mendapat minat daripada beberapa kelab gergasi Eropah serta pasukan-pasukan dalam Saudi Pro League.

“Saya memang tidak pernah percaya dia [merujuk kepad Mohamed Salah] akan ke Arab Saudi kerana, pertama sekali, dia masih terlalu bagus untuk bermain di sana.”

“Saya fikir dia masih mampu beraksi di Serie A. Bagi saya, Liga Turkiye berada pada tahap yang terlalu rendah untuk pemain sepertinya,” ujar Carragher menurut sumber laporan Goal.

“Saya benar-benar yakin dia akan berakhir di AC Milan, Juventus atau mana-mana kelab seperti itu. Mungkin isu gaji menjadi penghalang.”

“Saya tidak mengenalinya dan sudah tentu tidak pernah bercakap dengannya. Tetapi dia seperti Cristiano Ronaldo, seorang yang sangat bercita-cita tinggi dan angka statistik amat bermakna buat dirinya.”

“Saya tahu dia masih boleh melakukannya di Turkiye, tetapi saya fikir dia lebih mahu bermain di sebuah kelab yang benar-benar berprestij.”

Sumber