Michael Carrick mengakui Manchester United berasa seperti mengalami kekalahan selepas sekadar seri 2-2 dengan Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris.
United sebenarnya berada di landasan untuk membawa pulang tiga mata selepas mendahului Everton sebanyak dua kali, namun dua gol jarak jauh tuan rumah memusnahkan kelebihan tersebut.
“Ia tidaklah seteruk itu,” kata Carrick ketika menilai permulaan musim pasukannya.
“Kami begitu hampir untuk membawa pulang tiga mata hari ini. Itulah bola sepak. Ada beberapa perkara kecil yang kami boleh lakukan dengan lebih baik, tetapi kami akan baik-baik sahaja.”
Namun, Carrick tidak menyembunyikan kekecewaannya apabila United gagal mengekalkan kelebihan sehingga wisel penamat.
“Ia terasa seperti kekalahan,” katanya.
“Segala kerja keras yang kami lakukan untuk meletakkan diri kami dalam kedudukan itu pada beberapa peringkat perlawanan, akhirnya kami pulang dengan keputusan seperti ini. Kami sangat kecewa.”
“Kami tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa kami sudah memperoleh satu mata, tetapi rasanya kami sepatutnya mendapat lebih banyak.”
Namun begitu, satu masalah jelas masih menghantui United.
Mereka perlu berhenti melepaskan gol.
Carrick mengakui United tidak boleh terus bolos dua gol dalam setiap perlawanan jika mahu mengumpul kemenangan secara konsisten.
Dua gol Everton hadir menerusi rembatan jarak jauh Tyrique George dan Ainsley Maitland-Niles. Kedua-duanya merupakan percubaan berkualiti tinggi yang sukar untuk dihalang, tetapi Carrick tetap mengakui pasukannya perlu memperbaiki aspek pertahanan.
“Mentaliti itu ada,” katanya.
“Ia dua rembatan yang sangat bagus dari jarak jauh daripada mereka. Kadang-kadang bola seperti itu masuk ke penjuru atas, tetapi lebih kerap ia tidak masuk.”
“Namun, kami tidak boleh mengabaikannya. Kami perlu bolos lebih sedikit untuk memberikan diri kami peluang yang lebih baik untuk memenangi perlawanan.”
“Ada beberapa perkara yang kami perlu perbaiki sebagai sebuah pasukan.”
United kini perlu mencari penyelesaian terhadap masalah tersebut jika tidak mahu kelebihan yang mereka bina dalam perlawanan terus hilang pada penghujung aksi.