Michael Carrick menghamburkan pujian kepada “bakat besar” Benjamin Sesko selepas penyerang Manchester United itu masuk dari bangku simpanan pada Ahad untuk menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan dalam kemenangan 3–2 di Old Trafford menentang Fulham.
Sesko, 22, masih belum pernah memulakan perlawanan di bawah kendalian Carrick sejak bekas pemain tengah United itu dilantik sebagai pengurus interim, dan sebelum ini hanya bermain sembilan minit sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan pertamanya.
Namun penyerang antarabangsa Slovenia itu memastikan kemenangan United dengan gol keenamnya dalam 21 penampilan sejak perpindahan musim panas dari RB Leipzig, apabila menjaringkan gol pada minit ke-94 hasil hantaran Bruno Fernandes.
“Ia detik yang sangat besar,” kata Carrick.
“Kami semua sangat gembira di bilik persalinan. Sambutan yang dia terima bila masuk semula ke bilik persalinan sudah menceritakan segalanya.
“Dia cemerlang dalam latihan, nampak sangat berbahaya. Ben seorang bakat besar, dia ada banyak perkara positif.
“Dan hari ini gol itu sangat penting. Menjaringkan gol kemenangan di depan Stretford End adalah impian setiap pemain. Dia memang layak.”
United sebenarnya berada di landasan untuk menang selesa 2–0 sebelum Fulham menjaringkan dua gol selepas minit ke-85 untuk menyamakan kedudukan.
Namun Carrick berkata beliau tidak pernah hilang keyakinan bahawa pasukannya mampu bangkit mencari gol kemenangan.
“Saya agak tenang sepanjang masa,” katanya
“Saya kecewa dengan gol kedua itu, tetapi saya tahu masih ada lapan minit lagi dan saya yakin kami akan dapat satu detik.
“Memang sukar untuk mengawal emosi bila gol seperti itu terhasil, tetapi saya rasa kami akan ada peluang.
“Keterujaan memang sebahagian daripada kelab ini, tetapi bukan selalu cara paling mudah. Kami mahu menang dengan cara yang lebih mudah.”