Ketua jurulatih Manchester United, Michael Carrick kini berdepan tekanan untuk menyelamatkan kedudukannya selepas pasukan itu mengalami kekalahan memalukan 1-4 kepada Como dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Ketika kedudukannya semakin menjadi tanda tanya, pengendali berusia 45 tahun itu menggunakan sidang media pada Jumaat untuk menyampaikan amanat tegas kepada pasukannya, menurut sumber laporan Goal.
Tanpa menunggu soalan daripada pihak media, Carrick memulakan sidang media mingguannya di Carrington dengan kenyataan yang telah disusun terlebih dahulu.
Bekas pemain tengah itu bercakap penuh bersemangat selama lebih lima minit bagi menyentuh krisis yang sedang melanda kelab berkenaan. Carrick menuntut reaksi segera daripada anak buahnya menjelang aksi penting Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Bournemouth pada Ahad.
Beliau turut menegaskan betapa pentingnya setiap individu dalam kelab itu menunjukkan sikap rendah diri dan bekerja keras bagi mengatasi situasi semasa.
“Saya akan mulakan hari ini. Saya cuma mahu menyampaikan beberapa perkara. Saya rasa perkara ini penting,” ujar Carrick.
“Tanggungjawab saya adalah untuk membentuk sebuah pasukan yang turun beraksi di atas padang dengan membawa identiti kelab bola sepak ini, mewakili para penyokong dan membuatkan mereka bangga dengan identiti yang kami tonjolkan.”
“Kami telah menyimpang daripada identiti itu dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini. Saya sedar sepenuhnya tentang perkara tersebut dan sedang mengambil langkah untuk mengatasinya.”
“Saya rasa penting untuk kita semua mengakui hakikat itu. Saya sendiri menyedarinya. Jika saya berterus terang, kami seolah-olah sedikit hilang arah, tetapi kami akan mendapatkan semula identiti tersebut. Saya benar-benar yakin kami mampu melakukannya.”
“Kita perlu menghormati kelab bola sepak ini dan memahami apa yang diperlukan untuk mewakilinya. Perkara ini sangat, sangat penting bagi saya.”
Amaran Keras Carrick Buat Pemain Man Utd
Dalam perkembangan sama, Carrick menegaskan bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu dalam bilik persalinan yang gagal menunjukkan komitmen terhadap pasukan.
Beliau turut menekankan bahawa menghormati kelab dan memahami tuntutan besar untuk mewakilinya kekal sebagai keutamaan utama.
“Ya, saya memang begitu. Seratus peratus. Jika anda tidak mempunyai semangat itu, tempat ini bukan untuk anda,” katanya.
“Semangat itu, perpaduan dan kebersamaan perlu ada dalam pasukan. Semua itu masih ada dan akan terus kekal. Saya akan memastikan perkara itu terus dipertahankan.”
“Saya hanya mencari jalan penyelesaian untuk membawa pasukan ini ke hadapan. Itu sahaja, mudah dan jelas.”