Bekas penjaga gol Manchester City, Scott Carson mendedahkan sistem bonus yang diguna pakai pengendali kelab tersebut, Pep Guardiola.

Carson menghabiskan enam tahun bersama Manchester City sebagai penjaga gol ketiga pasukan selepas pada mulanya menyertai kelab itu secara pinjaman dari Derby County sebelum menandatangani kontrak tetap pada tahun 2021.

Baca Juga:

Bekas pemain antarabangsa England itu hanya beraksi dua kali sepanjang tempoh dominasinya di City, namun sering disebut sebagai individu penting dalam bilik persalinan dan dalam kalangan rakan sepasukan.

Sehubungan dengan peranannya tidak terlalu besar di dalam padang, Carson berada dalam kelompok pemain dengan gaji dan bonus paling rendah dalam skuad Manchester City.

“Panggilan daripada City datang dan saya fikir macam, ‘Bonus Liga Juara-Juara!’ Para pemain semua tandatangan jadual bonus tu,” jelas Carson menurut sumber Sport Bible.

“Ejen saya tanya, ‘Bukan ke setiap kali menang perlawanan dapat bonus?’

“Tapi dia cakap, ‘Tidak, kami hanya bayar pemain bila pasukan mencapai kejayaan’. Maksudnya, kau hanya dapat bonus bila menang sesuatu kejohanan.”

“Tak lama selepas itu, saya ada berbual dengan Txiki [Begiristain], pengarah kelab dan kami berbincang tentang beberapa perkara dan saya tanya dia tentang hal tu.”

“Dia cakap, ‘Sebelum saya datang, pemain-pemain dapat bonus walaupun hanya habis di tempat kedua. Kelab siap tanggung penginapan dan kereta lagi.”

“Tapi saya tak setuju dengan semua tu saya hanya mahu pemain terima bonus bila menang kejuaraan.”

Carson menambah: “Saya rasa kertas mengenai bonus yang saya tandatangan tu lebih untuk pemain simpanan dan pemain akademi.”

“Saya rasa kena main beberapa perlawanan untuk layak dapat separuh atau peratus tertentu. Pemain-pemain utama pula, mereka ada kontrak bonus peribadi masing-masing.”

“Bagi saya, dapat apa-apa bonus pun dah cukup menggembirakan sebab ia sesuatu yang bagus.”

“Kalau kau tandatangan kertas bonus macam tu di kelab lain untuk menang Liga Juara-Juara, kau tahu benda tu mustahil tapi di City, kau tahu peluang tu sentiasa ada.”

Pep Guardiola Pemurah

Dalam pada itu, Carson turut mendedahkan bahawa Pep Guardiola merupakan seorang yang pemurah dan sering berkongsi rezeki.

“Para pemain, setiap kali kami memenangi sesuatu akan menyumbangkan sebahagian daripada bonus mereka ke dalam satu tabung bersama.”

“Pep memang hebat, Guardiola akan cakap, ‘Kalau kita menang liga, bonus saya untuk liga tu kamu semua boleh bahagi dan kongsi bersama.’

“Dan dia benar-benar lakukan perkara itu beberapa kali, melibatkan semua kakitangan di kelab.”

Sumber