Alexander Agyarkwa Ameyaw, tonggak yang memainkan peranan penting dalam mengemudi jentera tengah Selangor terpaksa direhatkan kira-kira tiga bulan ekoran kecederaan lutut dialaminya.

Perkembangan terkini itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menurut sumber laporan Bernama.

Baca Juga:

“Mungkin dia perlu direhatkan selama tiga bulan, sebulan untuk pulih dari kecederaan dan selebihnya untuk tempoh pemulihan bagi mendapatkan kecergasan sebelum boleh beraksi seperti sedia kala.”

Seperti dilaporkan sebelum ini, Alex menjadi mangsa terjahan keras ketika aksi final Piala FA 2024 yang menemukan Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT), tempoh hari.

Keadaan yang menyaksikan pemain kelahiran Ghana itu terpaksa dikeluarkan pada lewat babak pertama dan digantikan dengan seorang lagi pemain import, Reziq Mohammed Saleh Bani Hani.

Ketiadaan Alex pada babak kedua jelas membuatkan Selangor berada dalam kesukaran hingga menyaksikan skuad kendalian Nidzam Jamil itu bolos empat gol lagi untuk tunduk 1-6.

Malah, perkembangan terkini tersebut dilihat sedikit merencatkan persiapan Selangor bagi menghadapi baki saingan Liga Super 2024 serta kempen AFC Champions League 2 (ACL2).

Ini nyata bukanlah satu berita baik bagi Selangor kerana Alex Agyarkwa merupakan salah seorang pemain terbaik mereka pada ketika ini.

Alexander Agyarkwa tampil cemerlang di bahagian tengah dimana beliau mempunyai kemampuan untuk menggerakkan bola dari bahagian tengah selain kualiti mengawal tempo permainan yang baik.

Sumber