Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Manchester United yang baharu, Omar Berrada tidak mahu kelab tersebut berbelanja besar dengan terburu-buru serta tanpa haluan jelas dalam jendela perpindahan.

Manchester United merupakan antara pasukan yang sering berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat pemain baharu.

Baca Juga:

Pelaburan tersebut bagaimanapun tidak semuanya membuahkan hasil sumbangan pemain direkrut tidak setimpal dengan harga dibayar.

Bukan sahaja tidak mampu membantu pasukan malah, keadaan tersebut jelas sekali merugikan kelab dengan julukan The Red Devils itu.

Sehubungan dengan itu menurut sumber laporan Manchester Evening News, Berrada yang akan mula memikul tanggunjawab berat bersama Manchester United pada 13 Julai nanti mahu mengubah polisi tersebut.

Antara pembelian mewah Manchester United yang dilihat tidak memberikan hasil diharapkan seiring dengan jumlah bayaran dalam jendela perpindahan sebelum ini ialah kehadiran Antony (£85 juta) dan Jadon Sancho (£73 juta).

Difahamkan, Berrada yang sebelum ini berkhidmat bersama Ketua Pegawai Operasi (COO) Manchester City lebih memilih untuk mengimplementasikan struktur lebih tepat buat kelab itu sebagai kunci kejayaan.

CEO kelahiran Maghribi itu menjadi pilihan Jim Ratcliffe untuk menggantikan Richard Arnold.

Dengan kehadiran Sir Jim Ratcliffe dan Omar Berrada, sudah pasti banyak perubahan besar akan dilakukan dua individu penting ini dalam usaha kembali meletakkan United sebagai salah sebuah kelab disegani di Eropah.

Musim 2024/25 menyaksikan skuad kendalian Eric Ten Hag itu bakal beraksi dalam saingan Liga Europa selepas berjaya menjuarai Piala FA.