Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TRW Kelantan, Ahmad Muzakkir Hamid memberi jaminan pihaknya akan memenuhi permintaan First Instance Body (FIB) sekaligus memperoleh lesen kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Kelantan menjadi satu-satunya pasukan dalam saingan Liga super yang masih belum diberikan lesen kebangsaan ekoran beberapa isu seperti tunggakan gaji dan Muzakkir akan memastikan pasukan itu memenuhi segala tuntutan yang diminta.

Baca Juga:

“Kita akur FIB sudah menjalankan satu bentuk hukuman untuk kita memenuhi syarat bagi mendapatkan lesen. Jadi, segala kriteria yang diminta FIB itu kita akan ikut sepenuhnya,” kata Muzakkir menurut laporan Berita Harian.

Baru-baru ini, FIB telah mengeluarkan senarai senarai kelab yang berjaya mendapatkan lesen kebangsaan dimana 10 pasukan diberikan lesen tanpa sebarang denda, tiga pasukan iaitu Kuala Lumpur City, Kelantan United dan Sabah diberikan lesen berserta hukuman denda RM20,000 atas kesalahan melakukan deklarasi yang salah.

Manakala bagi Kelantan mereka masih tidak diberikan lesen kerana beberapa perkara dimana kelab itu dikenakan denda RM20,000 atas kesalahan tidak mematuhi tempoh masa FIB. Pihak FIB memberikan peluang terakhir sehingga 30 November untuk menyerahkan bukti bayaran tunggakan gaji sehingga 31 Ogos ataupun persetujuan bersama pemain dan pegawai kelab.

Selain itu, TRW perlu menghantar surat deklarasi yang membuktikan bahawa mereka bebas daripada sebarang tunggakan sehingga 30 November mengikut sub-kriteria kewangan F.09 Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 beserta penyelesaian untuk kes-kes yang mempunyai keputusan FIFA dan FAM sebelum 31 Disember 2023.

Mengulas mengenai perkara ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata TRW Kelantan mungkin berdepan nasib sama seperti Melaka dan Sarawak sekiranya gagal menghantar dokumen yang diperlukan mengikut tarikh yang diberikan oleh FIB.

“Jika Kelantan tidak memenuhi syarat-syarat FIB mengikut tarikh yang ditetapkan, secara automatik pasukan itu akan menyingkirkan diri mereka sendiri dari saingan Liga Malaysia musim hadapan,” katanya dalam satu sidang media di Wisma FAM.

Dalam masa yang sama, Stuart masih berharap saingan Liga Super musim hadapan masih diisi oleh 14 pasukan dan Kelantan segera menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi ketika ini dan memenuhi syarat-syarat FIB.